GELAGAT Aiman Khayr yang lengkap berpakaian kostum Spider-Man ketika belajar mengaji.
GELAGAT Aiman Khayr yang lengkap berpakaian kostum Spider-Man ketika belajar mengaji.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Gelagat kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang sedang belajar mengaji, lengkap memakai kostum adiwira Spider-Man dan kopiah, menerima pelbagai reaksi netizen.

Beberapa keping gambar Aiman Khayr itu dimuat naik bapanya, Herman Sudil, 42, malam kelmarin di laman sosial Facebook (FB).

Herman yang juga usahawan berkata, sepatutnya, Aiman Khayr perlu memakai baju Melayu dan berkopiah ketika kelas mengaji, sama seperti kanak-kanak lain.

Namun disebabkan Aiman Khayr tak sihat, sakit kaki selain tidak ke sekolah kelmarin, kanak-kanak itu meminta untuk memakai kostum Spider-Man untuk ke kelas mengaji.

"Sebab semalam (kelmarin) dia tidak hadir ke sekolah kerana sakit kaki, Aiman Khayr sangka kelas mengaji juga tiada.

"Tetapi, saya suruh Aiman Khayr mengaji kerana kelas itu hanya mengambil masa sejam," katanya semalam.

Menurut Herman, guru mengaji Aiman Khayr, Ustaz Ariff Termidi Al-Hafiz juga amat memahami jiwa kanak-kanak dan amat penyabar.

"Bukan mahu mengajar anak adab mengaji memakai pakaian seperti itu, tetapi saya hanya meraikan dia kerana sakit, namun masih sanggup belajar mengaji," katanya.

Menurut Herman, Aiman Khayr peminat tegar pelbagai watak adiwira.

Katanya, selain kostum Spider-Man, Aiman Khayr juga kerap memakai kostum Iron Man, Captain America dan Black Panther.

"Ketika belajar solat sendirian, Aiman Khayr juga pernah memakai kostum adiwira lengkap berkopiah.

"Pada saya, Aiman Khayr dalam proses belajar sama seperti kanak-kanak lain yang lebih tekun melakukan sesuatu sekiranya mereka minat.

"Aiman Khayr suka watak adiwira kerana mahu melindungi mama dan adik perempuannya. Katanya, adiwira mempunyai sifat suka menolong orang yang dalam kesusahan," katanya.

Terdahulu, gambar berkenaan mendapat lebih 2,000 perkongsian dengan lebih 1,000 tanda suka daripada netizen.

Sebahagian besar netizen memberi reaksi positif dengan mengatakan gelagat Spider-Man cilik itu comel selain adiwira perlu pandai mengaji dan menjadi anak soleh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 6:35 AM