BERNAMA

Nibong Tebal: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memberikan bantuan bencana sebanyak RM1,000 bagi setiap keluarga yang terjejas akibat kejadian kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata bantuan bencana itu akan diberikan secepat mungkin kepada 90 keluarga di dua kawasan perumahan berhampiran tapak pelupusan sampah tersebut.

"Kejadian kebakaran itu memberikan kesan langsung kepada dua kawasan perumahan iaitu Ladang Byram membabitkan 38 keluarga serta Kampung Kebun Baru (52 keluarga) dan hasil perbincangan, kerajaan negeri bersetuju memberikan RM1,000 kepada setiap keluarga yang terbabit.

"Bantuan bencana ini diharap sedikit sebanyak membantu meringankan beban perbelanjaan harian penduduk yang terjejas dengan kejadian kebakaran yang berlaku sejak 12 Januari lalu," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di sini, hari ini.

Sebelum ini, kira-kira 400 penduduk daripada 90 keluarga yang tinggal berhampiran tapak pelupusan sampah berkenaan dipindahkan sementara ke lokasi yang selamat berikutan ruang udara kawasan kediaman mereka dipenuhi asap berbahaya.

Seramai 44 orang daripada 10 keluarga di situ ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah sejak 16 Januari lalu, manakala baki penduduk yang lain berpindah sementara ke rumah ahli keluarga mereka.

Mengulas lanjut, Chow berkata mereka yang berada di PPS dalam keadaan baik dan penduduk yang berpindah juga tidak perlu bimbang keselamatan rumah masing-masing kerana anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) telah ditugaskan membuat kawalan keselamatan 24 jam di samping rondaan berkala oleh polis.

"Dari segi pemantauan kesihatan dan kawalan jangkitan Covid-19 di PPS, pihak Pejabat Kesihatan Daerah memantau kesihatan termasuk melaksanakan ujian saringan (Covid-19) dan setakat ini mereka dalam keadaan sihat serta tiada yang kes Covid-19 dilaporkan," katanya.

Sementara itu, Chow berkata mesyuarat tersebut juga telah membuat keputusan hanya Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram iaitu terletak 1 kilometer (km) dari tapak pelupusan sampah tersebut yang mempunyai 21 murid akan terus ditutup berikutan ia paling hampir dengan tapak pelupusan sampah berkenaan.

Katanya sembilan sekolah lagi yang sebelum ini ditutup tiga hari hingga semalam, akan dibuka semula bermula Isnin ini selepas pemantauan dan pemeriksaan mendapati ia selamat namun pihak sekolah dinasihatkan tidak menjalankan aktiviti luar.

Sebelum ini, selain SJKT Ladang Byram, sekolah lain yang ditutup ialah SJKT Ladang Changkat; SJKT Nibong Tebal; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Teik; SK Seri Sentosa; SK Keledang Jaya; SK Nibong Tebal; SK Methodist; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong dan SMK Methodist.

Keputusan itu diambil selepas indeks udara dalam lingkungan radius 10km termasuk sekolah tersebut, berada pada tahap AEGL 3 iaitu kepekatan udara yang memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa penduduk.

CHOW Kon Yeow ketika sidang media di Pusat Media Dewan Serbaguna Jawi di sini, berhubung kebakaran tapak pelupusan Sampah Pulau Burung. FOTO DANIAL SAAD
CHOW Kon Yeow ketika sidang media di Pusat Media Dewan Serbaguna Jawi di sini, berhubung kebakaran tapak pelupusan Sampah Pulau Burung. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 6:05 PM