Keadaan terkini tapak pelupusan sampah Pulau Burung  di sini, yang terbakar dengan keluasan 11.3 hektar. FOTO DANIAL SAAD
Keadaan terkini tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini, yang terbakar dengan keluasan 11.3 hektar. FOTO DANIAL SAAD
Zuhainy Zulkiffli


Nibong Tebal: Penduduk di Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru di sini yang terbabit dengan arahan berpindah susulan asap toksik kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung masih tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing walaupun api sudah dipadam sepenuhnya Isnin lalu.

Pengerusi jawatankuasa bencana daerah Seberang Prai Selatan (SPS) yang juga Pegawai Daerah SPS Marlia Mohd Belia berkata, ia berikutan keadaan yang masih tidak selamat bagi pulang ke rumah kerana ancaman pencemaran udara dan kehadiran gas yang boleh menjejaskan kesihatan.

Katanya, berdasarkan semakan dan pemantauan Jabatan Alam Sekitar (Jas) Negeri di tapak pelupusan sampah dan kawasan sekitarnya mendapati udara di situ masih tercemar dan terdapat gas.

"Berikutan itu jawatankuasa bencana daerah SPS sudah memutuskan penduduk tidak dibenarkan pulang begitu sahaja dan akan terus mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah," katanya pada sidang media di sini yang dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Marlia, difahamkan keluarga yang berpindah ke rumah saudara mereka sebelum ini, sudah pulang ke rumah dan pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa kerana itu adalah kehendak mereka sendiri.

"Manakala penduduk yang berada di PPS, masih tidak dibenarkan pulang ke rumah.

"Kawasan tapak pelupusan sampah masih diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1," katanya.

Terdahulu, dilaporkan kira-kira 400 penduduk daripada 90 keluarga yang terjejas akibat kebakaran tapak pelupusan sampah itu diarah berpindah selepas asap toksik di tapak berkenaan menyebabkan pencemaran udara di kedua-dua kampung.

Daripada jumlah itu, 38 keluarga berasal dari Ladang Byram manakala 52 keluarga dari Kampung Kebun Baru.

Seramai 44 orang daripada 10 keluarga sudah menetap di PPS sejak 16 Januari lalu manakala yang lain berpindah ke rumah saudara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 3:22 PM