M SARAVANAN (tengah) menyampaikan Anugerah Emas Perkeso kepada Pengarang Berita Harian, Datuk Saidon Idris pada Anugerah Media Perkeso 2021. FOTO Aswadi Alias
M SARAVANAN (tengah) menyampaikan Anugerah Emas Perkeso kepada Pengarang Berita Harian, Datuk Saidon Idris pada Anugerah Media Perkeso 2021. FOTO Aswadi Alias
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Program Subsidi Upah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyelamatkan syarikat Malaysia daripada gulung tikar dan pekerja daripada kehilangan pekerjaan dan sumber kewangan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, selain itu, Skim Insurans Pekerjaan Perkeso yang diperkenalkan pada 2018 turut berperanan besar melindungi pekerja diberhentikan kerja dan menjamin kestabilan kewangan mereka dalam tempoh pandemik.

Beliau berkata, Portal Pekerjaan Negara iaitu MYFutureJobs menjadi tonggak kepada inisiatif kerajaan yang dilaksanakan Perkeso dalam pakej rangsangan dan pemulihan kerajaan.

"Bagi tempoh 1 Januari 2021 sehingga 12 November 2021, seramai 300,000 orang berjaya ditempatkan ke alam pekerjaan menerusi Portal MYFutureJobs.

"Inisiatif kerajaan seperti inilah yang membantu negara bangun semula daripada kesan hebat pandemik Covid-19.

"Ini membuktikan prihatin itu tersemat dalam segala yang dilakukan Kerajaan termasuk Kementerian Sumber Manusia dan Perkeso," katanya pada majlis Anugerah Media Perkeso 2021, di sini, malam ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengerusi Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya.

Pada majlis itu, pengamal media diraikan dengan sembilan anugerah pelbagai kategori liputan berkaitan Perkeso.

Saravanan berkata, kerajaan sedar akan peranan media yang komited menghebahkan segala inisiatif dilancarkan bagi menolong rakyat terjejas.

Beliau berkata, media turut berperanan memperjelaskan salah faham dalam kalangan rakyat berhubung penyaluran atau pengurusan inisiatif dilaksanakan kerajaan.

"Jasa semua pengamal media tidak mungkin dapat kami balas dalam apa jua bentuk sekalipun.

"Profesionalisme anda semua perlu diberikan penghargaan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata, Anugerah Media Perkeso yang julung kali diadakan menunjukkan tiada siapa dapat menafikan betapa besar dan pentingnya peranan media dalam memaklumkan serta mencorak pemikiran dan budaya masyarakat.

Justeru, katanya, langkah mengiktiraf peranan media dalam mengangkat dan menguar-uarkan pelbagai usaha dan inisiatif dilaksanakan Perkeso pada malam ini amat dihargai.

Sementara itu, Berita Harian (BH) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas Perkeso 2021 dan anugerah disampaikan Saravanan kepada Pengarang Kumpulan BH, Datuk Saidon Idris yang membawa pulang trofi, sijil serta wang tunai RM5,000.

Selain itu, BH memenangi kategori Laporan Media Cetak Terbaik menerusi laporan Bekerja Dari Rumah Tingkatkan Kes Kemurungan, Tekanan Emosi, Wujud Kumpulan Sokongan Bantu Redakan Tekanan.

Ia dihasilkan wartawan Fahmy A Rosly, Latifah Arifin dan Suzalina Halid dan mereka membawa pulang sijil, trofi dan wang tunai RM3,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 11:38 PM