Polis menahan 52 orang dan menyelamatkan seorang remaja warga Myanmar dalam dalam Op Pintas di kawasan Simpang Ampat, Pulau Pinamg di sini, awal pagi tadi. ihsan PDRM
Polis menahan 52 orang dan menyelamatkan seorang remaja warga Myanmar dalam dalam Op Pintas di kawasan Simpang Ampat, Pulau Pinamg di sini, awal pagi tadi. ihsan PDRM
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Seberang Perai: Selepas beberapa jam dibuka pada hari pembukaan, sebuah pusat hiburan beroperasi di Simpang Ampat, di sini, diserbu polis pada Op Pintas, awal pagi tadi.

Pusat hiburan terbabit juga didapati tidak memiliki lesen perniagaan selain menyasarkan pelanggan warga asing, terutamanya Myanmar.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, operasi jam 12.10 tengah malam itu dijalankan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran D3 (Atipsom) Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman serta Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan.

Menurutnya, pihaknya turut menyelamatkan seorang remaja perempuan Myanmar dipercayai menjadi buruh paksa.

"Fokus operasi adalah bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang berpandukan 'National Guideline on Human Trafficking Indicators' (NGHTI).

"Kami turut menahan 52 individu atas pelbagai kesalahan," katanya pada kenyataan.

Fadil berkata, remaja berusia 17 tahun itu diselamatkan mengikut Seksyen 44(1) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom).

Dalam pada itu, menurutnya, turut ditahan seorang lelaki Myanmar dipercayai berperanan sebagai majikan mengikut Seksyen 14 Akta Atipsom dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen serta pemilik premis tempatan berusia 29 tahun yang disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

"Seramai 40 warga Myanmar, termasuk 15 wanita berusia 19 hingga 41 tahun, ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Sepuluh individu warga Myanmar, termasuk lima wanita berusia 20 hingga 40 tahun, ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen," katanya.

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Atipsom 2007, Seksyen 6(1)(c), Seksyen 55B Akta Imigresen 1956/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 3:39 PM