Rangka manusia yang ditemui  pekerja ladang.
Rangka manusia yang ditemui pekerja ladang.

Belaga: Seorang pekerja ladang menemui tengkorak dan rangka manusia berhampiran kebun kelapa sawit di Sungai Asap, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, lelaki berusia 30-an itu ternampak serpihan tulang ketika melalui kawasan berkenaan sebelum menghubungi majikannya.

Ketua Polis Daerah Belaga Deputi Superintendan Melay Tingom berkata, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga kemudian ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis menemui bahagian tulang rusuk dan tengkorak manusia bersama serpihan baju kemeja berwarna kelabu.

“Tiada dokumen pengenalan diri dan senjata ditemui di lokasi berkenaan.

“Sisa tulang dan tengkorak itu kemudiannya dibawa
ke Hospital Bintulu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan tindakan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 7:18 AM