TERTUDUH masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga, empat dan lima bulan oleh Mahkamah Sesyen, Selangor. FOTO Faiz Anuar.
TERTUDUH masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga, empat dan lima bulan oleh Mahkamah Sesyen, Selangor. FOTO Faiz Anuar.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Tiga Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK), Unit Forensik Hospital Serdang dipenjara masing-masing tiga, empat dan lima bulan kerana menerima rasuah berkaitan kerja pengurusan jenazah pada 2018 dan 2019.

Hukuman diputuskan Hakim Rozilah Salleh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas tertuduh, Mohd Shah Rizan Yasak, 43; Mohd Riduan Ibrahim, 41 dan Muhamad Yusri Yusof, 36, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan.

Mahkamah turut mengenakan denda iaitu RM20,000 kepada Mohd Shah Rizan, Mohd Riduan RM10,000 dan Muhamad Yusri RM5,000, serta memerintahkan mereka dipenjara tambahan antara tiga ke enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Mereka yang tidak diwakili peguam turut dilihat menangis ketika merayu untuk pengurangan hukuman.

Ketiga-tiganya dituduh menerima wang RM6,250; RM3,550 dan RM1,100 menerusi pemindahan atas talian dalam akaun bank masing-masing daripada pemilik sebuah syarikat yang berusia 32 tahun bagi kerja-kerja pengurusan jenazah.

Kesalahan dilakukan antara 18 Mac 2018 hingga 7 Ogos 2019 di beberapa cawangan bank berlainan sekitar Bandar Baru Bangi, Kajang dan Banting.

Pendakwaan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Rozilah menasihati semua tertuduh supaya insaf dan tidak mengulangi kesalahan itu.

"Tanggungjawab anda semua mulia dan sepatutnya menolak apabila ditawarkan rasuah," katanya.

Dalam pada itu, di mahkamah sama, seorang lagi PPK hospital sama, Hairul Nizam Idris, 39, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM1,100 daripada individu sama untuk kerja pengurusan jenazah.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Kajang pada 20 dan 23 April 2018 dan dia didakwa mengikut mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tertuduh yang diwakili Peguam Siti Nurul Jannah Rizali dibenarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan 17 Mac depan.

Terdahulu, semua pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Aliff Shaharuzaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 3:31 PM