GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Tiga pembantu perawatan kesihatan (PPK) di Hospital Kajang dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda masing-masing antara RM3,000 dan RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nizam Noordin dan Sharum Hassim yang masing-masing berusia 42 tahun serta Muhd Azhar Nahar, 45 selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki itu menjalani hukuman penjara berkenaan bermula hari ini dan turut diarah menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda yang ditetapkan.

Mengikut pertuduhan pilihan, Mohd Nizam, Sharum dan Muhd Azhar iaitu pembantu perawatan kesihatan di Unit Forensik Hospital Kajang, masing-masing menerima wang berjumlah antara RM300 dan RM600 daripada seorang lelaki berusia 34 tahun melalui akaun mereka tanpa sebarang balasan yang diketahui ada kaitan dengan tugas rasmi mereka iaitu bagi kerja-kerja pengurusan jenazah.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dua cawangan bank tempatan di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah dan cawangan bank di Kajang, Hulu Langat antara 21 Mei hingga 9 Disember 2020.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Mohd Aliff Shaharuzaman manakala ketiga-tiga lelaki itu diwakili peguam Mohd Fikah Sanusi.

Pada Oktober tahun lalu, media melaporkan lima kakitangan hospital ditahan SPRM Selangor kerana disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada ejen sebagai balasan mendapatkan kerja pengurusan jenazah di hospital itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 4:12 PM