Anggota bomba sedang memadam kebakaran yang berlaku di Kampung Makam Lama Chabang Tiga. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Anggota bomba sedang memadam kebakaran yang berlaku di Kampung Makam Lama Chabang Tiga. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Tindakan pantas seorang guru menghubungi pihak bomba sebaik melihat api daripada sebuah rumah di Kampung Makam Lama, Chabang Tiga di sini, hari ini berjaya mengelak kebakaran daripada terus merebak ke kediaman berhampiran.

Kebakaran disedari berlaku pada 1.20 tengah hari ketika guru Sekolah Kebangsaan Seri Nilam, Muhammad Amri Azmi, 31, sedang membuat penyuraian pulang murid tahun dua sebelum ternampak kepulan asap serta bunyi letupan kecil.

Menurutnya, dia bersama beberapa guru menghampiri lokasi kejadian dan mendapati api sedang marak di sebuah rumah yang terletak berhampiran sekolah.

"Pada mulanya, saya ingatkan ada orang bakar sampah tetapi sangkaan saya meleset apabila asap dan letupan kecil berpunca daripada kebakaran sebuah rumah menyebabkan saya segera menghubungi bomba.

"Keadaan memang kelam kabut kerana pelajar yang berada di sekolah mahu menghampiri kawasan kebakaran selain keadaan yang sedikit sesak kerana ada ibu bapa sedang mengambil anak masing-masing.

"Mujurlah, pihak bomba datang dengan segera kerana api memang merebak dengan cepat berikutan keadaan cuaca yang panas dan berangin," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan pada 1.43 tengah hari.

Beliau berkata, sebanyak empat jentera dari BBP Kuala Terengganu dan Jalan Kota bersama 23 anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi memadam.

Katanya, pihaknya mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 2.22 petang.

"Dalam operasi ini, kita berdepan sedikit kesukaran berikutan akses laluan yang sempit kerana kedudukan rumah yang rapat.

"Kebakaran ini membabitkan dua kediaman dengan sebuah rumah musnah hampir 80 peratus manakala sebuah lagi mengalami kerosakan kira-kira lima peratus.

"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 7:10 PM