Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli Istiadat memeriksa Perbarisan sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-53 di Padang Merdeka hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli Istiadat memeriksa Perbarisan sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-53 di Padang Merdeka hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris

Foto Nik Abdullah Nik Omar

Kota Bharu: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menggesa kerajaan negeri supaya memberi tumpuan kepada proses pemulihan khususnya dari segi ekonomi yang terkesan akibat wabak Covid-19.

Dalam titah baginda sempena Ulang Tahun Keputeraan yang ke-53 di Istana Balai Besar di sini, hari ini, baginda bertitah supaya kerajaan negeri mempertingkatkan lagi kecekapan sistem penyampaian dan pengurusan di samping mengemaskini semula prosedur tertentu bagi menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.

"Penularan wabak Covid-19 menimpa seluruh dunia bukan sahaja meninggalkan kesan dengan jumlah kematian yang besar tetapi juga terhadap aspek kemanusiaan.

"Terutamanya bidang ekonomi yang memberi kesan langsung kepada ekosistem perniagaan, industri pembinaan dan pembuatan, pelancongan serta pertanian yang menyebabkan pertambahan bilangan pengangguran.

"Beta berpandangan untuk merancakkan semula kegiatan ekonomi negeri ini, tumpuan harus diberikan kepada sektor pelancongan baharu khususnya berasaskan 'rekreasi bersama keluarga'.

"Produk sedia ada yang menjadi tumpuan seperti 'Train To Dabong', Zoo Mini Kuala Krai dan Laman Warisan Kampung Laut perlu dikembangkan dan dipromosikan dengan lebih kreatif," titah baginda.

Beliau bertitah, dalam situasi ekonomi semasa dan pelbagai perkembangan di peringkat antarabangsa yang memberi kesan kepada aspek keselamatan serta kesediaan bekalan makanan, tindakan proaktif kerajaan negeri dalam mewujudkan beberapa jawatankuasa khusus serta mengenalpasti pelbagai strategi sangat dialukan bagi meningkatkan bekalan dan pengeluaran makanan.

Titah baginda lagi, ia adalah bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan dari luar dan memastikan negeri ini mempunyai daya tahan yang kukuh dalam mendepani krisis bekalan dan sekuriti makanan.

"Kerajaan negeri perlu terus memberi perhatian kepada pembangunan kawasan industri baharu dengan melengkapkan kemudahan infrastruktur dengan memberi penekanan khusus ke arah sektor pembuatan terpilih seperti dalam bidang elektronik yang mempunyai potensi besar untuk diperkembangkan," titah baginda.

Selain keperluan untuk memulih sektor ekonomi, baginda mahu masyarakat dan komuniti bersama dengan kerajaan dalam menjayakan pembangunan mampan melalui pembudayaan amalan bersih untuk meningkatkan kelestarian alam, menggalakkan inisiatif kitaran ekonomi, menjadikan peralihan sisa kepada sumber ekonomi dan memperkukuhkan tadbir urus pengurusan sisa dengan lebih baik.

"Beta mencadangkan supaya kerajaan negeri terus mempromosikan agenda 'Kelantan Sihat' bagi mewujudkan budaya dalam kalangan masyarakat dan individu yang sihat mental, fizikal dan rohani serta mewujudkan lebih banyak pusat bimbingan dan kaunseling dan pusat rekreasi baharu.

"Beta dimaklumkan kerajaan negeri sedang merancang pembangunan bandar-bandar baharu di seluruh negeri Kelantan dan besar harapan beta perancangan ini mengambil kira ciri-ciri unik setiap bandar yang akan dibangunkan sebagai pusat kegiatan ekonomi dan juga komersil," titah baginda.

Baginda juga meluahkan rasa gembira dengan pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi seperti Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, Central Spine Road (CSR), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang sedang giat dalam pembinaan dan diharap dapat disiapkan dalam masa ditetapkan.

Rasa syukur turut dizahirkan atas kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi pembangunan kemudahan sukan dengan pembinaan sebuah Kompleks Sukan yang lengkap di Bukit Merbau sempena penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) kali ke-22 pada 2026 di Kelantan.

"Beta juga menyambut baik kelulusan beberapa projek infrastruktur yang diumumkan oleh Perdana Menteri yang membabitkan negeri Kelantan pada September lalu antaranya Projek Pembinaan Jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai dan sambungan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3), diharapkan ia dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 3:53 PM