SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan  bercakap kepada media pada sidang akhbar mengenai perkembangan politik semasa di negeri Perak di Pejabat Pas, Rusila. FOTO Ghazali Kori
SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan bercakap kepada media pada sidang akhbar mengenai perkembangan politik semasa di negeri Perak di Pejabat Pas, Rusila. FOTO Ghazali Kori
Rizanizam Abdul Hamid


KEPUTUSAN kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberi keyakinan kepada rakyat terhadap kemampuannya menjalankan siasatan dengan profesional tanpa rasa takut dan adil.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, penubuhan jawatankuasa dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman itu juga diharap akan menemui dan merumuskan hasil siasatan yang baik serta bermanfaat untuk negara dan rakyat.

“Ini sekaligus dapat membawa semua pihak yang terbabit ke muka pengadilan mengikut saluran undang-undang yang ada.

“Sehubungan ini juga, PAS menegaskan tidak akan terbabit dan bertanggungjawab terhadap sebarang kenyataan lain mengenai isu ini yang dibuat atas nama PAS, sama ada oleh pimpinan mahupun ahli PAS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, ini termasuklah satu kenyataan khusus yang disiarkan dalam media oleh seseorang yang menamakan dirinya ‘Peguam PAS’ yang antaranya bertajuk ‘Kenyataan SPRM prejudis pada Najib’.

“Kenyataan berkenaan tidak ada kaitan dan tidak sekali-kali mewakili PAS, sebaliknya adalah kenyataan individu berkenaan semata-mata.

“PAS telah menetapkan kenyataan rasmi parti berkaitan pandangan dan pendirian PAS dalam semua isu-isu utama hanya boleh dikeluarkan oleh Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS sahaja,” jelasnya.

Majlis Penasihat Kerajaan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa 1MDB bagi melihat masalah membabitkan syarikat pelaburan strategik itu di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Jawatankuasa Siasatan 1MDB turut dianggotai Rakan PwC Risk Assurance Services, Nik Shahrizal Sulaiman; Rakan Kanan Naqiz Partners, Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar; Penasihat Kanan Financial Services Authority Indonesia, Faris Rabidin serta Pengasas Pusat Bagi Menangani Rasuah dan Kroni, Cynthia Gabriel.

Sementara itu Pasukan Khas Siasatan 1MDB pula diketuai bersama oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 6:06 PM