LELAKI warga asing yang menyorok di belakang langsir. FOTO Nor Farhani Che Ad
LELAKI warga asing yang menyorok di belakang langsir. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


MENYOROK di sebalik langsir itu antara cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengelakkan ditangkap pihak berkuasa dalam serbuan di sekitar Sungai Petani, semalam.

Dalam operasi Op Selera dan Sapu di restoran serta rumah sewa, seramai 13 PATI terdiri daripada enam lelaki, enam wanita serta seorang kanak-kanak lelaki ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, seramai 15 pegawai terbabit dalam operasi yang dijalankan kira-kira dua jam yang bermula 10 malam.

“Seramai 77 individu dari pelbagai negara diperiksa, daripada jumlah itu, 13 individu ditahan terdiri dari lima warga Thailand, dua warga Nepal dan lima warga Indonesia bersama seorang kanak-kanak lelaki.

“Mereka berumur antara 4 sehingga 40 tahun,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Zuhair berkata, saman saksi turut dikeluarkan kepada dua warga tempatan bagi membantu siasatan.

“Mereka yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tinggal lebih masa.

“Mereka juga melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Perkara 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan berkerja secara tidak sah,” katanya.

Semua ditahan di lokap Imigresen Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Belantik, Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 3:58 PM