ANTARA motosikal yang disita dalam Ops Pewa JPJ Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohd Haris Fadli.
ANTARA motosikal yang disita dalam Ops Pewa JPJ Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohd Haris Fadli.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Menggunakan motosikal diberi majikan atau mendapatkannya daripada rakan warga asing mahupun pemberian warga tempatan.

Itu cara warga asing yang ditahan dalam Ops Pemandu Warga Asing (Pewa) di sekitar Kampung Batu di sini, hari ini memperoleh kenderaan sekali gus menggunakannya secara berleluasa tanpa lesen sah.

Ketika ditanya wartawan yang mengikuti operasi itu, ada warga asing tanpa segan silu memberitahu membeli motosikal menggunakan nama warga tempatan untuk pelbagai kegunaan termasuk berniaga roti dan aiskrim.

Turut ditahan dalam operasi oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur itu, pengutip besi buruk warga Myanmar berusia 37 tahun yang menunggang motosikal roda tiga tanpa lesen.

Dia dikesan anggota JPJ yang melakukan penyamaran dan memberitahu motosikal itu diperoleh daripada rakan warga Indonesia yang sudah pulang ke kampung.

"Saya bawa motosikal ini untuk cari duit nak beri makan isteri dan anak yang baru lahir empat bulan lalu.

"Saya kerja kutip besi buruk sahaja, bolehlah dapat RM30 ke RM50 sehari, tengok keadaan. Satu kilogram tauke kedai besi bagi saya RM1 sahaja," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui.

Sementara itu Timbalan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Erick Jusiang berkata, dalam operasi itu, pihaknya menyita 62 kenderaan dipandu warga asing tanpa lesen merangkumi 58 motosikal, dua lori dan dua kereta.

"Sebanyak 422 notis (saman) dikeluarkan dalam operasi yang bermula dari jam 8.30 pagi dan berakhir 1 tengah hari, dengan kesalahan paling tinggi membabitkan lesen memandu sebanyak 204 kes.

"Ia diikuti kesalahan lesen vokasional (12), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (48), salah guna LKM (44), tiada insurans (46), kesalahan teknikal (66) dan lain-lain kesalahan (dua)," katanya.

Menurutnya, 62 pemandu dan penunggang warga asing yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh seramai 16 orang, India (sembilan), Pakistan (14), Kemboja (satu) dan Myanmar (16).

Katanya, operasi itu membabitkan 65 anggota dan pegawai JPJ Kuala lumpur serta tiga kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 9:10 PM