ANTARA motosikal yang disita kerana ditunggang oleh warga asing tanpa lesen sah.
ANTARA motosikal yang disita kerana ditunggang oleh warga asing tanpa lesen sah.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Sikap warga tempatan yang berterusan membenarkan kenderaan milik mereka digunakan pemandu atau penunggang warga asing (Pewa) tanpa lesen menjadi antara punca utama masalah itu terus berleluasa.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Erick Jusiang berkata, orang ramai terutama pemilik perniagaan diingatkan supaya tidak membenarkan warga asing tanpa lesen menggunakan kenderaan warga tempatan.

Menurutnya, isu Pewa tanpa lesen tidak akan selesai walaupun penguatkuasaan secara berterusan dijalankan jika warga tempatan sendiri yang membenarkan nama atau kenderaan mereka digunakan pemandu tanpa lesen.

"Saya beri amaran kepada warga kota yang menyewa atau membenarkan kenderaan mereka digunakan oleh warga asing ia adalah satu kesalahan.

"Perlu ada kesedaran, saya mahu ingatkan bila dibawa ke mahkamah bukan hanya pemandu (warga asing) malah pemilik kenderaan juga akan dikenakan tindakan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lokasi operasi Ops Pewa JPJ Kuala Lumpur yang diadakan di beberapa lokasi sekitar ibu negara, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan tiga siri Ops Pewa dan tangkapan semakin meningkat.

"Setakat 1 tengah hari ini, kita mengesan dan menyita 57 kenderaan dipandu warga asing atas pelbagai kesalahan.

"Kesalahan paling kerap dilakukan antaranya menunggang tanpa lesen dan salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM)," katanya.

Erick berkata, walaupun memiliki lesen memandu yang sah, warga asing masih tidak dibenarkan untuk mengambil lesen vokasional kerana ia hanya dikhaskan untuk warga tempatan.

Justeru, beliau mengingatkan majikan tempatan supaya tidak menggajikan pemandu warga asing untuk membawa kenderaan perdagangan walaupun mereka mempunyai lesen memandu sah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 5:35 PM