Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke pada Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman Pembangunan Jejanatas Pejalan Kaki menghubungkan Coronation Square dan Stesen RTS Link Bukit Chagar di Menara Jland, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke pada Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman Pembangunan Jejanatas Pejalan Kaki menghubungkan Coronation Square dan Stesen RTS Link Bukit Chagar di Menara Jland, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Kerajaan bakal melaksanakan projek perkhidmatan KTM Komuter di bandaraya ini bagi mengintegrasikan dengan perkhidmatan Rapid Transit System Link (RTS Link) yang dijangka siap hujung 2026.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata langkah memperkenalkan KTM Komuter itu adalah satu keperluan bagi menjadikan Stesen RTS Bukit Chagar, di sini, mudah diakses pengguna yang tinggal di pinggir bandaraya.

Katanya, kerajaan berhasrat menjadikan Stesen RTS Bukit Chagar sebagai hab pengangkutan awam bersepadu sekali gus ia dihubungkan pelbagai mode pengangkutan.

"Apabila perkhidmatan RTS Link beroperasi nanti, ia perlu kepada sistem pengangkutan lebih bersepadu bagi memudahkan pengguna dari pinggir Johor Bahru menggunakannya.

"Oleh itu ketika ini kerajaan sedang meneliti untuk memperkenalkan perkhidmatan KTM Komuter di bandaraya ini terutama bagi menghubungkan laluan pinggir bandar termasuk Kulai-Senai terus ke bandaraya ini.

"Landasannya sudah ada hasil Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru yang akan siap tahun depan, jadi tiada isu besar cuma memerlukan peruntukan serta kerjasama dengan swasta.

"Jika landasan berkembar sudah ada, tidak akanlah kita hanya hadkan kepada perkhidmatan tren elektrik (ETS) semata-mata, jadi perkhidmatan KTM Komuter boleh diperkenalkan di Johor Bahru seperti di Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Pembangunan Jejantas Pejalan Kaki antara Coronation Square dan Stesen RTS Link Bukit Chagar, di sini, hari ini.

RTS Link adalah projek bernilai RM10 bilion membabitkan sistem LRT moden yang menjangkau empat kilometer dari Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands di Singapura.

Terdahulu, Anthony menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Pengarah Projek MRT Corp, Zulkifli Mohamed dan Pengarah Perhubungan Korporat Coronation Properties Sdn Bhd, Datin Paduka Alinah Ahmad bagiPembangunan Jejantas Pejalan Kaki Menghubungkan Coronation Square dan Stesen RTS Link Bukit Chagar.

Dalam pada itu, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, Stesen RTS Link Bukit Chagar tidak boleh berdiri sendiri jika tiada projek pengangkutan awam dilaksanakan bagi menyepadukannya sekali gus memudahkan pengguna mengaksesnya.

Oleh itu, katanya pelbagai projek pengangkutan di sekitar Stesen RTS Bukit Chagar sedang diperincikan bagi memberi lebih akses kepada pengguna.

"Kita juga sedang meneliti cadangan Kerajaan Johor yang mencadangkan pembinaan Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat bagi menyuraikan trafik di bandaraya itu apabila RTS Link beroperasi nanti," katanya.

Mengulas mengenai mengenai projek landasan kereta api berkembar elektrik dari Gemas - Johor Bahru pula, Anthony berkata, projek itu sedang berjalan lancar dengan kemajuan kini memfokuskan pemasangan infrastruktur.

Katanya, bahagian infrastruktur jajaran landasan kereta api berkembar elektrik dari Gemas - Johor Bahru dijangka akan siap pada penghujung tahun ini.

"Namun, Julai ini perkhidmatan ETS antara Gemas- Segamat akan bermula dengan laluan antara Gemas-Johor Bahru pula akan membabitkan tiga fasa sebelum ia siap sepenuhnya April tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 6:32 PM