Anthony Loke ketika berucap selepas Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman Pembangunan Jejantas Pejalan Kaki menghubungkan Coronation Square dan Stesen RTS Link Bukit Chagar di Menara Jland, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Anthony Loke ketika berucap selepas Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman Pembangunan Jejantas Pejalan Kaki menghubungkan Coronation Square dan Stesen RTS Link Bukit Chagar di Menara Jland, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


JOHOR BAHRU: Projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Malaysia dan Singapura mencapai kemajuan 70.45 peratus, setakat 31 Mac lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata ia membabitkan pembinaan infrastruktur rel RTS Link.

Katanya, projek RTS Link berada di landasan tepat untuk disiapkan mengikut jadual pada Disember 2026.

"Tahap kemajuan projek RTS Link mendahului jadual di mana kerja-kerja pembinaan infrastruktur rel RTS Link mencapai kemajuan 70.45 peratus berbanding dengan jadual asal 67.06 peratus.

"Manakala pembinaan Superstructure Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bukit Chagar serta Penyuraian Infrastruktur pula mencapai 7.02 peratus berbanding dengan jadual asal 6.99 peratus.

"Akses kepada pengendali operasi RTS Link iaitu RTS Operations Systems Sdn Bhd (RTSO) untuk pemasangan sistem dijangka dapat dilaksanakan pada akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Pembangunan Jejantas Pejalan Kaki antara Coronation Square dan Stesen RTS Link Bukit Chagar, di sini, hari ini.

RTS Link adalah projek bernilai RM10 bilion membabitkan sistem LRT moden yang menjangkau empat kilometer dari Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands di Singapura.

RTS Link, apabila siap kelak, dijangka dapat memendekkan perjalanan kepada sekitar 15 minit dari Johor Bahru ke Singapura.

Rangkaian berkenaan dijangka akan digunakan 10,000 penumpang setiap jam, setiap arah dan jangkaan sekitar 40,000 penumpang setiap hari apabila ia beroperasi.

Terdahulu, Anthony menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Pengarah Projek MRT Corp, Zulkifli Mohamed dan Pengarah Perhubungan Korporat Coronation Properties Sdn Bhd, Datin Paduka Alinah Ahmad bagiPembangunan Jejantas Pejalan Kaki Menghubungkan Coronation Square dan Stesen RTS Link Bukit Chagar

Sementara itu, Anthony berkata bagi memastikan perkhidmatan RTS Link berjalan lancar, kemudahan sokongan jejantas pejalan kaki dan tempat parkir turut disediakan.

"MRT Corp sedang membina kemudahan parkir bertingkat yang baharu di Bukit Chagar untuk penumpang RTS Link, merangkumi 1,000 ruang tempat letak kenderaan.

"Manakala sebanyak 700 ruang tempat letak kenderaan khusus untuk penumpang RTS Link akan disediakan di Coronation Square, yang terletak hanya 400 meter dari Bukit Chagar," katanya

Beliau berkata, bagi mempertingkatkan ketersambungan ke stesen RTS Link, tiga jejantas pejalan kaki juga akan dibina.

"Jejantas pertama menghubungkan Stesen RTS Link Bukit Chagar ke JBCC sepanjang 60 meter (m), dan jejantas kedua dan ketiga ke Coronation Square serta JB Sentral sepanjang 400m, masing-masing.

"Kompleks CIQ dan stesen RTS Link juga akan disambungkan terus dengan stesen KTM JB Sentral melalui Jejantas Pejalan Kaki untuk meningkatkan integrasi perkhidmatan RTS, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta MyBas Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 5:43 PM