SUSPEK terdiri daripada anak Menteri Besar Perlis (hadapan sekali) termasuk Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Perlis dibawa keluar dari Mahkamah Kangar selepas tempoh reman mereka disambung sehari  lagi. FOTO Aizat Sharif
SUSPEK terdiri daripada anak Menteri Besar Perlis (hadapan sekali) termasuk Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Perlis dibawa keluar dari Mahkamah Kangar selepas tempoh reman mereka disambung sehari lagi. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


Kangar: Tempoh tahanan reman terhadap anak Menteri Besar dan empat lagi suspek disambung sehari lagi sehingga esok terhadap bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Tempoh reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Mahkamah Majistret Kangar selepas tempoh asal reman kesemua suspek tamat pada hari ini.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, bagaimanapun, seorang daripada enam suspek yang bertugas sebagai pembantu teknik di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dipercayai berusia 20-an yang ditahan semalam sudah pun dibebaskan hari ini.

"Suspek memberikan kerjasama yang baik dalam hal ini," katanya dengan ringkas.

Kesemua suspek berusia 27 hingga 37 diwakili peguam Mohd Fadhly Yaacob.

Mohd Fadhly ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Kangar berkata, ini adalah fasa sambungan reman yang terakhir buat anak guamnya.

"SPRM meminta tujuh hari sebagai tempoh sambungan reman namun pihak mahkamah hanya membenarkan sehari sahaja lagi tempoh reman disambung.

"Ini adalah untuk segala siasatan anak guam saya diselesaikan dengan segera dan selepas esok anak guam saya harus dilepaskan.

"Setakat ini, hanya seorang anak guam saya dibebaskan daripada siasatan ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Putrajaya, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan sambungan tempoh penahanan berkenaan.

Semalam, anak Menteri Besar Perlis yang juga menantu kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi antara enam individu yang direman SPRM bagi membantu siasatan berhubung siasatan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Ia membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaikpulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022 hingga hari ini yang mana menjurus kepada tuntutan palsu terhadap kerja yang tidak dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 11:09 AM