S SASIKALA Devi (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2.
S SASIKALA Devi (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2.
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Dua buruh binaan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 dipercayai cuba menyeludup dadah ke Sarawak menggunakan perkhidmatan penerbangan, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata, kedua-dua suspek termasuk seorang warga Indonesia berusia 29 dan 44 tahun ditahan pada jam 4.11 pagi ketika pemeriksaan bagasi dilakukan.

"Sejumlah 7,000 gram dadah jenis methamphetamine, pil erimin 5 (5,960 gram) dan 61 gram ekstasi ditemui dalam bagasi serta beg sandang suspek.

"Susulan tangkapan itu, polis melakukan serbuan di sebuah kondominium di Seri Kembangan dan merampas 9,000 gram pil erimin 5 dan 169.65 gram ketamine yang mana kesemua rampasan dadah ini bernilai RM1.76 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mereka sudah beberapa kali menggunakan kaedah penerbangan bagi tujuan penyeludupan dadah.

"Pengesanan dadah dalam masing-masing satu beg sandang dan bagasi itu dilakukan menerusi mesin pengimbas dan dadah itu dibungkus beberapa lapisan menggunakan plastik hitam.

"Kedua-dua individu berkenaan dijangka berlepas ke Sibu, Sarawak awal pagi itu dan dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran di negeri terbabit," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek bertindak menukar modus operandi pada awal pagi kerana kurangnya pergerakan orang ramai.

Katanya, semakan mendapati suspek tempatan mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah termasuk mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

"Mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 28 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sasikala Devi berkata, pihaknya masih menunggu laporan forensik bagi mengesan pemilik cap jari bagi kes sebuah bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 ditemui di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Mac lalu.

Katanya, setakat ini sebanyak 10 individu sudah dirakamkan percakapan termasuk pemilik syarikat teknologi maklumat yang mendakwa wang itu miliknya.

"Kita masih menunggu keterangan lanjut untuk saksi-saksi tampil untuk menunjukkan sumber daripada mana wang itu diperoleh. Mungkin memerlukan masa (sebelum putuskan wang itu milik siapa)," katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, seorang pengawal keselamatan menemui sebuah bagasi berisi wang tunai berjumlah lebih RM500,000 di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara, 20 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 1:55 PM