KOR Ming (tengah) ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pintu Gerbang Kampung Baru Batu Dua, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
KOR Ming (tengah) ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pintu Gerbang Kampung Baru Batu Dua, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Gerik: Pemberian peruntukan melalui aktiviti turun padang Program Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tetap dilakukan biarpun sesuatu kawasan itu tidak menghadapi sebarang pilihan raya dalam waktu terdekat, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, ia termasuk peruntukan sebanyak RM4.58 juta yang diumumkannya menerusi program hari ini bagi pelaksanaan 22 projek oleh Majlis Daerah Gerik (MDG) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam kawasan Parlimen Gerik.

Katanya, daripada jumlah itu, RM1.7 juta disalurkan kepada MDG selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tujuh projek manakala selebihnya RM2.88 juta meliputi kerja bagi 15 projek disalurkan kepada JPKK meliputi tiga daerah kecil iaitu Lenggong, Pengkalan Hulu dan Gerik.

Beliau berkata, peruntukan itu tetap diluluskan biarpun Gerik atau Perak secara am tidak ada pilihan raya kecil (PRK) mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam waktu terdekat.

"Gerik tak ada PRK, mahupun tiada PRN namun Sentuhan Kasih KPKT tetap sampai juga di sini. Ini terbukti adalah komitmen kerajaan Malaysia Madani sentiasa bekerja, berkhidmat dan berjasa tak kira musim dengan melakukan jelajah ke seluruh negara.

"Sempena tinjauan ini saya dan pasukan KPKT diberikan taklimat oleh MDG berkaitan perkembangan semasa dan keperluan penambahbaikan infrastruktur serta kemudahan awam di kawasan ini," katanya kepada pemberita sewaktu menyempurnakan Majlis Perasmian Pintu Gerbang Kampung Baru Batu Dua, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha KPKT, Suhaimi Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Temengor, Datuk Salbiah Mohamed dan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali.

Kor Ming berkata, antara projek itu meliputi penyelenggaraan dan membaik pulih Pasar Awam Gerik; kerja-kerja pembaikan longkang lama berhampiran Gerai Makan MDG di Kampung Baru Batu Dua; naik taraf tapak Pasar Malam Gerik; naik taraf dua unit kolam takungan di Skim Perumahan Taman Angsana Fasa 2.

Beliau dalam pada itu meminta masyarakat menghargai usaha dilakukan kementeriannya itu bagi memastikan manfaat disampaikan secara optimum kepada penduduk setempat.

"Saya ingin mengingatkan bahawa bukan senang untuk kita dapat peruntukan, maka hargailah usaha ini. Mari sama-sama kita berdoa supaya diberikan kekuatan untuk kita memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa kira kaum, dan agama," katanya.

Sebelum ini, Kor Ming dikritik pelbagai pihak antaranya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) selain beberapa pemimpin khususnya dari parti pembangkang apabila beliau pada Khamis lalu mengumumkan peruntukan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Kritikan itu memandangkan Hulu Selangor akan melalui proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dalam waktu terdekat, yang sekali gus pengumuman peruntukan itu dianggap sebagai dana demi kepentingan politik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 2:32 PM