FARAH Cie menziarahi keluarga pengawal peribadi yang ditembak. FOTO ihsan FB Farah Cie
FARAH Cie menziarahi keluarga pengawal peribadi yang ditembak. FOTO ihsan FB Farah Cie
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: "Syukur hari ini (semalam) terima berita Along dah sedarkan diri. Terima kasih ya Allah," tulis Farah Md Isa atau dikenali Farah Cie di Facebooknya, malam tadi.

Wanita yang terselamat daripada ditembak suaminya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 April lalu, melahirkan kesyukuran selepas pengawal peribadinya yang terkena tembakan dalam insiden itu sudah sedarkan diri.

Farah Cie memberitahu berjumpa isteri kepada pengawal peribadinya, Muhammmad Nur Hadith Zaini, 38, beberapa hari lalu.

Katanya, ketika itu Muhammmad Nur Hadith yang mesra dipanggil Along masih tidak sedarkan diri dan hanya ahli keluarga terdekat sahaja boleh melawatnya.

"Untuk pengetahuan semua, Along adalah pengawal peribadi utama dalam menjaga keselamatan saya sejak awal lagi, mempunyai tiga cahaya mata dan akan menimang cahaya mata yang keempat.

"Along orangnya sangat mementingkan kekeluargaan dan individu yang sentiasa mengambil berat perihal keluarga," katanya.

Mengulas lanjut, Farah berkata, anak sulung daripada tujuh beradik itu rajin bekerja sambilan bagi menyara keluarga dan sangat ringan tulang membantu isteri.

Selain itu, beliau berkata, pengawal peribadinya itu juga menguruskan anaknya yang kurang upaya (OKU) dikenali Adam.

"Kebiasaannya Along yang akan mengangkat anaknya Adam untuk urusan bersihkan badan. Apabila Along sakit, isterinya tidak larat untuk mengangkat Adam yang kini berusia 13 tahun.

"Apabila isteri Along ke hospital, emak isterinya yang akan menjaga anak di rumah Along," katanya yang turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga pengawal peribadinya itu.

Katanya, bapa Along ada berpesan kepadanya untuk memohon jemaah di Tanah Suci mendoakan kesihatan Along.

"Mari kita berdoa agar kesihatannya kembali pulih semula. InshaAllah kami akan buka tabung kecemasan untuk bantu keluarga Along. Mohon doakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 12:09 PM