Ab Rauf Yusoh pada sidang media selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh di Merlimau, malam tadi. FOTO AMIR MAMAT
Ab Rauf Yusoh pada sidang media selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh di Merlimau, malam tadi. FOTO AMIR MAMAT
Oleh Amir Mamat


Jasin: Tiada peruntukan akan diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, tiada sebarang perbincangan mengenainya dibuat setakat ini, malah kerajaan negeri tidak akan mempertimbangkan permohonan wakil rakyat pembangkang negeri itu pada masa hadapan.

"Dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dimenangi mereka kini ditadbir oleh seorang Penyelaras Dun yang dilantik oleh kerajaan negeri bagi menjalankan tugas membela nasib penduduk di kawasan berkenaan.

"Berdasarkan suasana politik khususnya di Melaka sekarang, biarlah macam ini sahaja. Jika kerajaan Persekutuan (hendak menyalurkan peruntukan kepada pembangkang) itu hak mereka, kerajaan negeri adalah hak kerajaan negeri (untuk membuat keputusan).

"Kita tidak memutuskan apa-apa bentuk bantuan untuk pembangkang, tak ada dibincangkan langsung," katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Ketua Pemuda Umno merangkap Adun Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh di Dataran Orang Kampung, di sini, malam tadi.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub yang menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan langkah sama dibuat kerajaan Persekutuan yang menyalurkan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen pembangkang.

Dr Yadzil yang juga Adun Bemban dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri berharap peruntukan disalurkan sewajarnya kepada semua wakil rakyat pembangkang di setiap negeri.

Selain Bemban, satu lagi kerusi Dun dimenangi pembangkang ialah Sungai Udang.

Kerajaan negeri sebelum ini melantik masing-masing seorang Penyelaras Dun bagi menjalankan tanggungjawab membangunkan kawasan berkenaan selain lantikan tambahan seorang Penyelaras di Dun Rembia.

Khamis lalu, media melaporkan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 1:01 PM