Dr Mohd Yadzil.
Dr Mohd Yadzil.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menyambut baik keputusan kerajaan untuk menyalurkan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen pembangkang dan berharap ia turut dilaksanakan di peringkat negeri.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka itu berkata, beliau amat berharap peruntukan tidak lagi menjadi satu perkara pilihan oleh kerajaan dan perlu disalurkan sewajarnya kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang daripada PN di setiap negeri bagi memudahkan mereka menjalankan tugas diamanahkan.

Menurutnya, dalam konteks Melaka, biarpun hanya ada dua Adun pembangkang iaitu beliau (Dun Bemban) dan Dr Mohd Aleef Yusof (Sungai Udang), kerajaan negeri masih tidak memberikan peruntukan sehingga kini seperti diterima wakil rakyat kerajaan.

"Saya yakin bukan faktor kemampuan yang menjadi penghalang kerana kerajaan negeri sendiri sanggup berbelanja besar menyediakan kos tambahan membeli kereta rasmi untuk semua jawatan Timbalan Exco.

"Peruntukan wakil rakyat pembangkang ini diharapkan tidak lagi menjadi satu perkara pilihan oleh kerajaan.

"Tidak sepatutnya ada rundingan sebelum kerajaan menyalurkan peruntukan. Ini adalah hak semua wakil rakyat. Wakil rakyat bukan pengemis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju mempertimbang untuk menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilapor berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Mohd Yadzil turut berharap syarat yang sedang dirangka Kerajaan Perpaduan berkaitan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang tidak menekan atau menyukarkan mereka.

Katanya, Adun pembangkang juga adalah calon dipilih oleh rakyat untuk mewakili suara penduduk di kawasan masing-masing dan peruntukan disediakan juga duit rakyat dan seharusnya dikembalikan kepada mereka.

"Syarat diletakkan juga seharusnya sama dengan yang ditetapkan kepada semua wakil rakyat kerajaan dan patut dijadikan satu peraturan yang lazim.

"Janganlah sampai peruntukan disalurkan tapi syarat yang ditetapkan akan menyulitkan keadaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 12:59 PM