Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong (dua dari kanan) ketika hadir pada pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Luar merangkap Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, di Kampung Tanjong Rantau, hari ini. Foto Mohd Amin Jalil.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong (dua dari kanan) ketika hadir pada pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Luar merangkap Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, di Kampung Tanjong Rantau, hari ini. Foto Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Rembau: Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan bahawa cadangan parti itu supaya calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu harus daripada Barisan Nasional (BN) sudah disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pendirian itu juga sudah dipersetujui sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA yang berlangsung di ibu pejabat parti itu semalam.

"Sebelum mesyuarat Jawatankuasa Biro Politik MCA semalam, pihak kita telah nyatakan lebih awal supaya calon PRK Kuala Kubu Bharu harus daripada BN.

"Perkara ini disampaikan kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN.

"Semalam, Biro Politik MCA sudah membuat satu keputusan bahawa sekiranya kali ini bukanlah calon BN, maka MCA tidak akan membantu dalam PRK Kuala Kubu Bharu.

"Perkara ini sudah diputuskan lebih awal dan itu satu keputusan kolektif daripada parti," katanya selepas hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Luar merangkap Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, di Kampung Tanjong Rantau, dekat sini, hari ini.

Ka Siong berkata, beliau tidak mahu ulas lebih lanjut kerana sudah memadai untuk nyatakan pendirian parti berkenaan.

"Itu pendirian ringkas kita, tak perlu nak ulas lagi," katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 3:43 PM