FOTO Ihsan PDRM
FOTO Ihsan PDRM
Alias Abd Rani

Muar: Pengurus syarikat keselamatan maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang merempuh kenderaan pelbagai guna (SUV)di Kilometer 138.3 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara dekat Pagoh, hari ini.

Kemalangan berlaku jam 12.25 tengahari, menyebabkan mangsa berusia 42 tahun maut ditempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata sebelum kejadian mangsa dari Singapura dalam perjalanan pulang ke rumah di Jasin, Melaka.

Menurutnya, pemandu SUV berusia 59 tahun yang juga kontraktor dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Nilai, Negeri Sembilan.

"Tayar belakang sebelah kiri SUV terbabit pecah menyebabkan pemandunya berhenti di lorong kecemasan untuk menukarnya.

"Ketika keluar dari kenderaan, pemandunya membuka but belakang untuk meletakkan tanda kecemasan bagi menukar tayarnya.

"Secara tiba-tiba, mangsa datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh SUV terbabit.

"Akibat rempuhan itu, mangsa terpelanting beberapa meter sebelum terbaring di tengah lebuhraya terbabit," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, pemandu SUV itu tidak mengalami kecederaan dan dia kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 10:28 PM