Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas enam kenderaan klon termasuk dua motosikal berkuasa tinggi serta tiga motosikal Yamaha RX-Z terpakai yang diseludup dari negara jiran.

Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk cukai semasa dianggarkan bernilai RM579,418.

Menurutnya, kesemua kenderaan itu dirampas hasil aduan awam serta risikan yang dijalankan selama dua bulan bermula 15 Februari lalu.

"Antara kenderaan yang dirampas ialah Nissan Teana, BMW Z4 2.5I, Nissan Serena, Honda Jaz Fit, Toyota Vellfire, Honda Odyssey.

"Turut dirampas adalah motosikal Honda CB400, Yamaha TDC selain daripada RX-Z.

"Modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk kenderaan itu sama ada secara persendirian atau melalui sindiket yang beroperasi di sempadan.

"Bagi tiga RX-Z terpakai pula, ia diseludup melalui pangkalan haram di Sungai Golok menggunakan sampan dan dijual kepada pembeli tempatan dengan harga sekitar RM7,000 hingga RM8,000 seunit," katanya ketika sidang media di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan di sini, hari ini.

WAN Jamal Abdul Salam (kiri) memeriksa motosikal berkuasa tinggi serta tiga motosikal Yamaha RXZ terpakai yang diseludup dari negara jiran di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
WAN Jamal Abdul Salam (kiri) memeriksa motosikal berkuasa tinggi serta tiga motosikal Yamaha RXZ terpakai yang diseludup dari negara jiran di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Wan Jamal Abdul Salam berkata, enam kenderaan klon dan dua motosikal berkuasa tinggi yang dirampas dibawa masuk dari Singapura dan dijual pada harga yang rendah sehingga 30 peratus berbanding harga semasa.

Menurutnya lagi, pihaknya percaya terdapat rangkaian sindiket yang menjalankan kegiatan itu di negara asal iaitu Thailand serta Singapura dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

"Untuk rampasan kesemua kenderaan itu, siasatan dibuat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957.

"Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar.

"Juga boleh dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 4:33 PM