Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 11 motosikal terpakai seludup bernilai RM42,113.50 termasuk cukai di Bukit Bunga, Tanah Merah, pada 26 September lalu.

Pemangku Pengarah JKDM Kelantan, Koh Joo Kai, berkata rampasan dilakukan susulan kejayaan anggota menggagalkan cubaan menyeludup motosikal Yamaha RXZ dalam kejadian di pangkalan haram Bukit Bunga pada 24 September.

Katanya, dalam tempoh dua hari, pihaknya membuat risikan sebelum menyerbu sebuah bengkel yang dijadikan tempat penyimpanan motosikal terpakai dari negara jiran.

"Hasil siasatan mendapati kesemua motosikal terbabit tidak mempunyai nombor pendaftaran Malaysia selain turut diubah suai dipercayai bagi memenuhi permintaan pelanggan tempatan.

"Pihak kami masih meneruskan siasatan bagi mengesan pemilik motosikal serta pemilik bengkel bagai mengenal pasti Orang Yang Disyaki (OYDS) yang terbabit dalam penyeludupan motosikal terpakai ini.

"Mereka menggunakan modus operandi dengan membawa motosikal melalui laluan sungai menggunakan bot atau sampan ke pangkalan haram sebelum dibawa ke bengkel," katanya dalam sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang, di sini, hari ini.

ANTARA 11 motosikal terpakai seludup bernilai RM42,113.50 termasuk cukai di Bukit Bunga, Tanah Merah yang dirampas di Bukit Bunga, Tanah Merah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
ANTARA 11 motosikal terpakai seludup bernilai RM42,113.50 termasuk cukai di Bukit Bunga, Tanah Merah yang dirampas di Bukit Bunga, Tanah Merah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Koh berkata, kes terbabit disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar.

"Pesalah juga boleh dipenjarakan tidak kurang daripada enam bulan atau tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

"Kes penyeludupan motosikal terpakai bukanlah yang pertama diperoleh pihak JKDM Kelantan, namun begitu rampasan kali ini agak besar dipercayai kerana mula mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminat motosikal tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 12:59 PM