ABDULLAH ditemu bual di Ibu Pejabat JPN Pahang hari ini berhubung isu kehilangan kad pengenalan. FOTO Bernama
ABDULLAH ditemu bual di Ibu Pejabat JPN Pahang hari ini berhubung isu kehilangan kad pengenalan. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuantan: Sebanyak 9,589 kad pengenalan atau MyKad dilaporkan hilang di Pahang pada tahun lalu dengan 9,218 daripada jumlah itu disebabkan faktor kecuaian, kata Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang Mohammad Abdullah.

Dalam tempoh sama, beliau berkata, sebanyak 280 kes kehilangan direkodkan bagi kategori jenayah antaranya membabitkan kes kecurian, manakala 91 kes akibat bencana seperti banjir serta kebakaran.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah itu mencatatkan penurunan berbanding 2022 iaitu 12,448 kes dengan 11,740 kes disebabkan faktor kecuaian, manakala 273 kes kerana jenayah dan 435 kes akibat bencana.

"Jumlah kehilangan MyKad menunjukkan penurunan pada tahun lalu berbanding 2022 antara lain kerana program sebar luas kepentingan menjaga kad pengenalan dipergiatkan.

"Selain itu, banjir pada 2022 turut menyumbang kepada angka kehilangan kad pengenalan yang direkodkan pada tahun berkenaan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di Indera Mahkota di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohammad berkata, individu yang membuat permohonan gantian MyKad kali pertama akan dikenakan bayaran sebanyak RM110 termasuk fi untuk memproses, RM310 untuk kali kedua dan RM1,010 bagi kali ketiga.

Bagi kehilangan kali ketiga dan seterusnya beliau berkata, individu perlu melalui beberapa proses tapisan lanjut sebelum kad pengenalan baharu dikeluarkan.

"Denda yang dikenakan dan prosedur ketat ini bagi memastikan kad pengenalan tidak dikeluarkan dengan sewenang-wenangnya manakala kad pengenalan yang dilaporkan hilang akan dibatalkan dalam sistem JPN dan tidak lagi sah untuk digunakan.

"Tindakan ini bagi memastikan ia tidak terlepas kepada pihak tidak bertanggungjawab dan disalah guna" katanya sambil menambah sebanyak 356 permohonan MyKad untuk kali ketiga atau lebih diterima sepanjang tahun lalu.

Justeru, beliau menasihatkan masyarakat supaya menyimpan identiti diri itu dengan selamat dan sentiasa peka akan keberadaannya kerana kehilangan kad pengenalan boleh membawa kepada penyalahgunaan dokumen pengenalan diri berkenaan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pejabat cawangan JPN di Rompin yang terbabit dalam insiden kebakaran tahun lalu dijangka mula beroperasi pada Mei ini selepas kerja pembaikan selesai dilaksanakan pada akhir bulan ini.

Menurut beliau, sepanjang tempoh kerja baik pulih dijalankan, penyampaian perkhidmatan tidak tergendala malah tetap diteruskan selaras dengan slogan 'Rakyat Di Hati JPN' dengan menempatkan bas dan van Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di pekarangan cawangan itu bagi memudahkan urusan penduduk setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 3:24 PM