GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kajang: Bapa yang disyaki mendera anak kandungnya sehingga meninggal dunia di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma di sini, pada Isnin lalu, bakal berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Muhamad Nasir Drahman berkata, lelaki berusia 25 tahun yang masih dalam tahanan reman akan dituduh di mahkamah esok.

"Lelaki terbabit akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi atas kesalahan membunuh anak kandung berusia enam bulan.

"Suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan bayi lelaki berusia enam bulan maut disyaki didera bapa kandungnya di kediaman mereka pada Isnin lalu.

Perkara itu terbongkar selepas bedah siasat ke atas mayat bayi terbabit oleh Pakar Forensik Hospital Kajang mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepalanya.

Berikutan itu, polis menahan suspek di pekarangan Unit Forensik hospital berkenaan pada jam 11.30 malam hari sama.

Suspek yang positif dadah jenis syabu direman selama tujuh hari bermula kelmarin sehingga 22 April untuk siasatan lanjut.

Ibu bayi itu yang mahu dikenali Siti dilaporkan berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika dia bersama anak sulung berusia dua tahun ke rumah keluarga mentua, manakala suami dan anak bongsunya berada di rumah.

Siti dipetik berkata, sebaik pulang ke rumah suami tidak membenarkannya melihat bayi mereka yang konon sedang tidur dalam bilik dan dia hanya menyedari mangsa tidak sedarkan diri pada keesokannya.

Bayi malang itu dipercayai dipukul, kepala dihentak pada sofa selain mulutnya disumbat dengan kain dan badan dibedung serta ditinggalkan tertiarap dalam bilik gelap tanpa pengawasan sebelum ditemukan meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 1:46 PM