OPERASI mencari dan menyelamat wanita warga emas yang dikhuatiri dibaham buaya. FOTO Ihsan Bomba
OPERASI mencari dan menyelamat wanita warga emas yang dikhuatiri dibaham buaya. FOTO Ihsan Bomba
Norsyazwani Nasri


Kuching: Seorang wanita warga emas dikhuatiri dibaham buaya ketika keluar mencari lokan di Sungai Rayu, Jalan Selang, di sini, hari ini.

Difahamkan mangsa dikenali Minu Kin, 60, keluar dari rumah mencari lokan di kawasan Sungai Rayu 8 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu 1.55 tengah hari dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi kejadian.

"Mangsa dilaporkan keluar bersama dengan anak saudaranya untuk mencari lokan.

"Menurut anak saudara mangsa, kemungkinan mangsa dibaham buaya kerana ada kesan darah dan kesan tapak kaki dijumpai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pasukan bomba bersama penduduk kampung membuat pencarian awal menggunakan bot penduduk di sekitar kawasan dipercayai lokasi serangan namun gagal menjumpai mangsa.

Operasi mencari dan menyelamat ditangguh pada 6 petang dan akan bersambung esok hari berikutan hari mulai gelap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 7:51 PM