LOKASI mangsa dipercayai dibaham buaya di Kampung Sungai Silabukan, Lahad Datu. FOTO Ihsan Bomba
LOKASI mangsa dipercayai dibaham buaya di Kampung Sungai Silabukan, Lahad Datu. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Lahad Datu: Lelaki dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya di dalam kejadian di Kampung Sungai Silabukan, di sini, semalam.

Mangsa Salim Sakka, 50, dikatakan menjalankan aktiviti memukat ikan di kawasan sungai berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu menerima panggilan kecemasan terdapat mangsa dipercayai dibaham buaya, jam 9.45 pagi.

Katanya, menurut anak mangsa, bapanya dibaham buaya memukat semalam.

"Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan bot penyelamat dengan kaedah 'surface searching' dengan radius pencarian dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Setakat ini mangsa belum ditemui," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, operasi SAR ditangguhkan kira-kira 6 petang dan akan disambung semula pagi esok.

"Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.

Operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jabatan Hidupan Liar Sabah dan orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 11:25 PM