AGONG.
AGONG.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Semua 26 bahagian Pemuda Umno Johor membuat laporan polis susulan tindakan individu memuat naik hantaran media sosial, didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Jumaat lalu.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros, laporan akan dibuat hari ini sebagai gesaan agar siasatan dan tindakan segera dapat dikenakan ke atas individu yang dilihat bertindak biadab itu.

"Saya sudah minta semua 26 bahagian Pemuda Umno di Johor buat laporan polis mengenai perkara ini dan ia juga susulan gesaan Ketua Pemuda Umno Dr Muhammad Akmal Saleh malam tadi," katanya ketika dihubungi.

Dalam hantaran yang dipercayai sudah dipadamkan itu, seorang individu yang didakwa Pengarah Media Baharu Pemuda Pas Selangor menyatakan tidak akan menadah tangan ketika doa dibaca untuk Sultan dan Agong ketika solat Jumaat.

Dinyatakan juga, doanya hanya diberi kepada pemimpin yang meletakkan agama sebagai nombor satu dan memperjuang serta mempertahan Islam ketika agama diancam.

Mengulas lanjut, Nor Azleen berkata, amalan mendoakan ketua agama dan pemerintah di Johor adalah kunci kesejahteraan dan keamanan negeri serta seluruh rakyat.

"Selepas sekian lama, amalan mendoakan Ketua Agama dan Pemerintah adalah sebahagian daripada rutin yang menjadi praktis di semua masjid dan surau seluruh Johor.

"Bahkan, amalan ini bukan sekadar menjadi rutin setiap kali selepas solat Jumaat, malah ia adalah rutin wajib selepas solat fardu pada setiap waktu di masjid dan surau di seluruh negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 9:04 AM