MAK Jah mengakui sewaktu menagih dadah, beliau menjadi seolah-olah tidak berfikir secara normal dan tidak kisah dengan apa sahaja perbuatan dilakukannya. FOTO AIZUDDIN SAAD
MAK Jah mengakui sewaktu menagih dadah, beliau menjadi seolah-olah tidak berfikir secara normal dan tidak kisah dengan apa sahaja perbuatan dilakukannya. FOTO AIZUDDIN SAAD
Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Sepang: "Bila sudah terjebak, saya susah nak 'keluar' daripada ketagihan dadah dan melarat," kata Mak Jah, 38, yang kini menerima rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Dengkil di sini.

Mak Jah berkata, dia mula terjebak dalam penagihan dadah sejak berusia 19 tahun hanya disebabkan pengaruh rakan dan mengamalkan pergaulan bebas sewaktu muda.

"Saya mula ambil syabu selepas itu heroin. Dua-dua saya ambil. Kalau ada heroin, kena ada syabu, kalau ada syabu kena ada heroin.

"Malah, saya dah tak mampu nak menghadap dunia luar. Masa menagih, saya rasa sangat tertekan dan sakit. Bila saya bangun daripada tidur, saya nak ada dadah.

"Sewaktu menagih dadah, saya tidak berfikir secara normal dan tidak kisah dengan apa sahaja perbuatan dilakukan," kata ibu tunggal kepada enam anak yang berasal dari Johor itu.

Menyentuh bagaimana dirinya berada di Puspen, Mak Jah berkata, ia bertitik tolak kepada kematian ibu bapanya akibat Covid-19 pada tahun lalu.

Menurutnya, dia bersama adiknya pergi mencari tempat untuk merawat ketagihan dadah dialami mereka.

"Sebelum meninggal dunia, mak pernah meninggalkan pesanan supaya saya dan adik tidak lagi menagih dadah. Itu yang mencetus hati saya dan adik untuk berubah," katanya.

Dalam pada itu, Mak Jah berkata, ini adalah kali pertama dia beraya di Puspen Dengkil serta jauh daripada anaknya.

"Saya sedih. Raya tahun lepas sewaktu berada di luar mak ayah saya tiada. Raya tahun ini pula tanpa anak-anak.

"Sebelum ini saya tidak pernah berjauhan dengan mereka. Tetapi kali ini saya terpaksa berjauhan semasa hari raya. Bagaimanapun, saya yakin atas kesedihan itu, akan ada nikmat yang akan saya perolehi" katanya.

Sementara itu, Syah, 33, juga menagih dadah sewaktu berusia 19 tahun ketika melanjutkan pelajarannya dalam diploma kejuruteraan mekanikal di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Sewaktu belajar, saya berjauhan dengan keluarga. Saya berasa bebas ketika itu kerana tinggal di rumah sewa.

"Semasa itu saya bercampur dengan macam-macam orang. Pengaruh di situ kuat, tetapi saya tidak menyalahkan mereka. Sebenarnya perasaan ingin tahu penyebab saya terbabit dalam penyalahgunaan dadah," katanya yang sebelum ini menghisap dadah jenis syabu.

Syah berkata, disebabkan sudah berada lebih setahun di Puspen Dengkil, dia berasa rindu dengan keluarganya lebih-lebih lagi pada Aidilfitri ini.

Menurutnya, dia merancang mencari kerja di Singapura apabila keluar dari Puspen dan kembali menjadi insan lebih baik serta meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 7:55 AM