Lapan individu cedera akibat sebuah MPV jenis Vellfire terlanggar bahagian belakang backhoe di KM 21 Jalan Sitiawan-Teluk Intan, dekat Ladang Arcadia, di sini, hari ini. FOTO FOTO TULAR.
Lapan individu cedera akibat sebuah MPV jenis Vellfire terlanggar bahagian belakang backhoe di KM 21 Jalan Sitiawan-Teluk Intan, dekat Ladang Arcadia, di sini, hari ini. FOTO FOTO TULAR.
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Tujuh sekeluarga cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka melanggar jengkaut di Kilometer 21 Jalan Sitiawan-Teluk Intan, dekat Ladang Arcadia, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, hasil siasatan awal di lokasi mendapati, kejadian membabitkan seorang lelaki pemandu jengkaut berusia 63 tahun yang sedang dalam perjalanan dari Kayan ke arah Sitiawan.

"Setiba di tempat kejadian, sebuah MPV jenis Vellfire dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dari arah belakang dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar bahagian belakang jengkaut secara mengejut.

"Penumpang MPV terdiri daripada isteri kepada pemandu berusia 40 tahun, empat anak perempuan berusia 6 hingga 14 tahun serta seorang anak lelaki berusia 4 tahun.

"Akibat perlanggaran itu, semua tujuh individu di dalam MPV terbabit dan pemandu jengkaut cedera. Semua mangsa dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan bertindak membantu mengeluarkan seorang lelaki yang didapati tersepit di tempat duduk pemandu Vellfire terbabit.

Menurutnya, operasi menyelamat membabitkan 12 anggota bomba itu ditamatkan jam 7.50 pagi.

Terdahulu, beberapa gambar dan video berhubung kemalangan terbabit tular di media sosial menunjukkan beberapa kanak-kanak dipercayai penumpang MPV terbaring dalam keadaan berdarah di tepi jalan akibat perlanggaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 4:01 PM