Bomba berusaha mengeluarkan mangsa tersepit. FOTO Ihsan Bomba
Bomba berusaha mengeluarkan mangsa tersepit. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Gopeng: Dua kelindan lori warga Bangladesh maut apabila lori dinaiki melanggar bahagian belakang sebuah treler dalam kejadian di KM 307.5 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, nahas jam 5.55 pagi itu membabitkan lori bonded tiga tan membawa muatan perabot dinaiki tiga mangsa melanggar bahagian belakang sebuah treler membawa muatan tepung.

Katanya, kemalangan mengakibatkan tiga mangsa tersepit.

"Pemandu lori bonded yang juga lelaki tempatan berusia 36 tahun patah tangan, manakala dua lelaki warga Bangladesh berusia 26 dan 29 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.

"Pemandu treler, iaitu lelaki tempatan berusia 58 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak perubatan manakala mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi tamat jam 8 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 11:53 AM