Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Nahas yang membabitkan dua kenderaan berat di Kilometer 402.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke Kuala Lumpur, awal pagi semalam dipercayai berpunca daripada lori membawa muatan makanan sejuk beku yang hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata dalam kejadian 3.50 pagi itu, kenderaan berat dinaiki dua lelaki berusia 35 dan 47 tahun berkenaan merempuh belakang sebuah treler membawa muatan simen.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit dalam lori.

"Pemandu dan kelindan lori itu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur dan hubungan mangsa adalah rakan sekerja.

"Kemalangan berlaku apabila lori dinaiki dua mangsa itu gagal dikawal sebaik tiba di lokasi kejadian lalu melanggar bahagian belakang kenderaan hadapan (treler)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, siasatan mendapati pemandu treler berusia 49 tahun dalam perjalanan dari Bidor, Perak ke Klang.

Menurutnya, treler itu kemudian dirempuh lori di lorong sama.

"Proses bedah siasat dijalankan di Hospital Kuala Kubu Bharu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Polis ingin mengingatkan orang ramai supaya memandu lebih berhati-hati, rehat dengan cukup dan rancang pemanduan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 8:20 AM