RAZARUDIN mengangkat jenazah Allahyarham selepas selesai dikafankan. FOTO ihsan PDRM
RAZARUDIN mengangkat jenazah Allahyarham selepas selesai dikafankan. FOTO ihsan PDRM
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: "Al-Fatihah sahabat." Itu ucapan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kepada bekas rakan sepasukannya yang meninggal dunia akibat kanser di Batu Gajah, Perak, semalam.

"Hari ini saya hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada squadmate saya, Allahyarham pesara DSP (Deputi Superintendan) Rahmat Zakaria.

"Beliau meninggal dunia kerana kanser di Surau Al-Ehsan Anjung Bemban, Batu Gajah, Perak," katanya dalam satu hantaran di TikTok hari ini.

Beliau berkata, Allahyarham yang pernah bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, meninggalkan seorang balu yang juga seorang pegawai kanan polis.

"Didoakan semoga Allah SWT menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan hamba-hamba pilihan-Nya. Al-Fatihah," katanya.

Sementara itu, tindakan polis nombor satu negara itu meluangkan masa menziarah bekas rakan sepasukannya mendapat pujian daripada netizen.

"Persahabatan tidak mengira kedudukan atau pangkat. Tan Sri KPN terbaik dalam kalangan yang baik. Semoga Allah SWT sentiasa memberi kesihatan pada beliau untuk memimpin Polis Diraja Malaysia (PDRM)

"Terbaik Tan Sri, insyaAllah orang bawah malu nak buat jahat bila seorang ketua menunjukkan contoh yang terbaik, semoga Tan Sri diberikan kekuatan dan kesihatan meneraju PDRM," antara komen di Facebook PDRM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 4:20 PM