Kotak yang berisi pelbagai jenama rokok bernilai RM348,816 yang dirampas pihak polis melalui serbuan di Kampung Kelar, di sini, jam 7.05 pagi, semalam. FOTO IHSAN Polis
Kotak yang berisi pelbagai jenama rokok bernilai RM348,816 yang dirampas pihak polis melalui serbuan di Kampung Kelar, di sini, jam 7.05 pagi, semalam. FOTO IHSAN Polis
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Polis merampas rokok dipercayai diseludup bernilai RM348,816 tanpa cukai yang disorokkan di dapur sebuah rumah di Kampung Kelar, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, serbuan pada 7.05 pagi itu dilakukan selepas intipan selama sejam.

"Ketika serbuan, rumah itu tidak berkunci dan tiada penghuni. Pemeriksaan menemui longgokan kotak berisi rokok itu di dapur dan merampasnya untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat dibawah peruntukan undang-undang Sek 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti suspek yang dikaitkan dengan kes itu dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti penyeludupan boleh menghubungi pihaknya di talian 09-7932222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 2:43 PM