Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Bermula dengan mengolah tumpahan serbuk kunyit di dapur pada usianya dua tahun, M Rajendrra Vharma sudah menunjukkan bakat melukis.

Di usia tiga tahun, Rajendrra Vharma atau panggilan manjanya Vharma didiagnos sebagai autisme namun kecenderungannya terhadap lukisan semakin terserlah.

Ibunya, P Rajesweri, 43, berkata, dia dan suami, P Mohanan, 58, hanya menyedari bakat Vharma selepas adik kepada Mohanan, Velu yang juga pensyarah kanan reka bentuk industri memberikan idea untuk melihat sama ada Vharma meminati seni lukis semasa anaknya berumur empat tahun.

"Adik ipar saya membawa empat warna iaitu merah, biru, kuning dan hijau serta lukisan gajah, singa dan zirafah. Dia memberi masa sebulan untuk Vharma siapkan.

"Tetapi anak kami berjaya mewarna lukisan itu hanya dalam tempoh tiga hari.

"Sejak itu, kami galakkan dan teroka minatnya itu termasuk mengesan bahan asas diminati iaitu akrilik dan gambar haiwan," katanya ketika ditemui.

Katanya, melukis umpama terapi kerana ia membuatkan anak tunggalnya itu gembira dan seronok.

"Apabila dia melukis, dia ambil masa sehari, tiga hari atau kadang kala seminggu bergantung kepada mood.

"Bagi saya waktu itu sangat berharga kerana dapat meluangkan lebih masa bersama anak saya dan lebih memahami minatnya apabila kami berbincang mengenai berus atau warna apa dia minati.

"Saya juga perasan mood anak saya baik dan biasanya dia akan menyanyi sambil melukis," katanya.

Katanya, Vharma mula mempamerkan hasil karya pada usianya lima tahun ketika dipelawa sebuah hospital pakar semasa penganjuran bulan kesedaran autisme.

ANTARA koleksi lukisan yang kebanyakannya bertema lukisan kucing, kuda, gajah, rama-rama dan burung kerana Vharma meminati haiwan di samping pemandangan serta lautan. FOTO Aiman Danial Mohd Hood Aktha
ANTARA koleksi lukisan yang kebanyakannya bertema lukisan kucing, kuda, gajah, rama-rama dan burung kerana Vharma meminati haiwan di samping pemandangan serta lautan. FOTO Aiman Danial Mohd Hood Aktha

"Sejak itu kami sering dipelawa untuk beberapa pameran dan beberapa kali dijemput membuat demonstrasi lukisan di depan orang ramai.

"Kebanyakan tema dihasilkan Vharma ialah lukisan kucing, kuda, gajah, rama-rama dan burung kerana dia meminati haiwan di samping pemandangan dan lautan.

"Sehingga kini lebih 40 karya Vharma sudah terjual, malah dua karyanya juga diletakkan pada muka depan dua buku cerpen Tamil," katanya.

Selain melukis, peguam itu berkata, Vharma turut gemar membaca, memasak dan menonton dokumentari haiwan atau galaksi dan planet.

"Dia suka membaca fakta dan kebanyakan planet atau nama ibu negara, bendera dan peta dunia dia belajar sendiri melalui Internet.

"Di dapur, kami sediakan pemotong dan alat khas untuknya kerana dia juga menunjukkan minat memasak.

"Dalam aspek pelajaran, saya bersyukur semuanya ok kerana dia juga mendapat sokongan dalam Program Pendidikan Khas Integrasi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sentul Utama," katanya.

Katanya, mereka lega apabila Vharma menunjukkan perkembangan yang baik termasuk boleh berdikari, berdisiplin dan tahu membawa diri.

"Sebaik didiagnos autisme pada Oktober 2017, kami tidak lengah, terus hantar dia terapi selama enam jam seminggu, malah kami juga banyakkan mencari maklumat dan ilmu mengenai autisme.

"Di rumah juga kami atur pelbagai aktiviti antaranya ajar dia macam mana hendak beritahu kami apa dia mahu dan emosi dia menggunakan perkataan ringkas yang ditulis di kertas dan dilaminate.

"Kini, apabila melihat perkembangan positifnya kami rasa sangat bersyukur kerana banyak perubahan berlaku," katanya.

VHARMA bersama ibu bapanya, Rajesweri dan Mohanan serta lukisan dihasilkannya. FOTO Aiman Danial Mohd Hood Aktha
VHARMA bersama ibu bapanya, Rajesweri dan Mohanan serta lukisan dihasilkannya. FOTO Aiman Danial Mohd Hood Aktha

Menurutnya, dia dan suaminya juga aktif berkongsi pengalaman mereka di media sosial bagi memberi kesedaran mengenai autisme.

"Setiap anak autisme tidak sama, namun kita perlu teroka dan sokong minat mereka.

"Memang dulu kami awalnya sukar menerima dia autisme, tetapi kami tidak pernah anggap dia satu bebanan, malah dia bukan saja anugerah tetapi mengubah hidup kami kerana apa saja kami buat, keutamaan hanya untuk Vharma," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 7:01 AM
VHARMA didiagnos sebagai autisme di usia 3 tahun. FOTO Aiman Danial Mohd Hood Aktha
VHARMA didiagnos sebagai autisme di usia 3 tahun. FOTO Aiman Danial Mohd Hood Aktha