Anggota Maritim Malaysia melakukan pencarian fasa kedua kotak hitam helikopter jenis AW139  yang melakukan pendaratan cemas pada 5 Mac lalu di sekitar Pulau Angsa. FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA
Anggota Maritim Malaysia melakukan pencarian fasa kedua kotak hitam helikopter jenis AW139  yang melakukan pendaratan cemas pada 5 Mac lalu di sekitar Pulau Angsa. FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berdepan kesukaran mencari kotak hitam helikopter AW139 yang melakukan pendaratan cemas di Pulau Angsa, di sini, 5 Mac lalu, berikutan keadaan semasa di lokasi kejadian.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, keadaan arus deras di dasar laut, selain jarak penglihatan di dalam air yang terhad akibat dasar laut berlumpur antara faktor menyukarkan pencarian kotak hitam terbabit.

Katanya, operasi pencarian membabitkan 21 penyelam yang memasuki fasa kedua itu memfokuskan keluasan lokasi kotak hitam antara 50 sehingga 100 meter radius berpandukan signal daripada pinger.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kotak hitam berkenaan dipercayai berada di sekitar 700 hingga 800 meter dari kawasan pendaratan cemas helikopter berkenaan.

"APMM bagaimanapun positif akan menjumpainya dalam masa terdekat berdasarkan kedudukan terkini dikesan," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Hamid berkata, misi pencarian kotak hitam turut disertai kru sonar PHN TLDM, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dan pihak penyedia perkhidmatan pesawat Maritim Malaysia iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd.

Pada masa sama katanya, fasa pertama pencarian dilakukan bermula 6 hingga 24 Mac lalu dengan lokasi tumpuan sekitar satu kilometer radius di kawasan kejadian.

Terdahulu, APMM mengesahkan helikopter AW139 milik agensi itu melakukan pendaratan cemas ketika menjalani latihan menyelamat di perairan Pulau Angsa, Selangor pada 9.55 pagi 5 Mac lalu, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 11:31 AM