Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang terhempas di Perairan Pulau Angsa, Klang semalam berjaya dibawa naik jam 12.15 tengah malam tadi.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, helikopter berkenaan dibawa naik dengan bantuan pihak syarikat penyelenggaraan pesawat udara agensi ini.

"Helikopter berkenaan dibawa berlabuh di jeti Pelabuhan Klang seterusnya dibawa ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada 3.30 pagi untuk tindakan lanjut.

"Helikopter AW139 dengan nombor pendaftaran M72-01 adalah salah satu daripada tiga siri pesawat udara AW139 yang diletakkan di bawah Skuadron Phoenix, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia yang diterima daripada Kerajaan pada tahun 2010," katanya dalam kenyataan, hari ini.

HELIKOPTER AW139 milik APMM yang terhempas di Perairan Pulau Angsa, Klang semalam berjaya dibawa naik jam 12.15 tengah malam tadi. FOTO Ihsan APMM
HELIKOPTER AW139 milik APMM yang terhempas di Perairan Pulau Angsa, Klang semalam berjaya dibawa naik jam 12.15 tengah malam tadi. FOTO Ihsan APMM

Menurutnya, helikopter terbabit sudah melaksanakan pelbagai misi dengan mencatat rekod hampir lima ribu jam penerbangan.

"Antara misi yang dilaksanakan adalah operasi seperti Op Naga, Op Kuda Laut, Op Pagar Laut, Op Benteng, Op Jangkar Haram, Op Patkor Optima, Op Redback dan lain-lain operasi penguatkuasaan.

"Selain itu, helikopter berkenaan banyak terbabit dengan pelbagai misi Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) yang dikoordinasikan Maritim Malaysia," katanya.

Beliau berkata, antara pencapaian AW139 M72-01 sepanjang melakukan tugasannya ialah berjaya menyelamat lima orang pemancing yang terkandas akibat cuaca buruk di Pulau Batu Berantai di Barat Laut Pantai Remis, Jeram pada tahun 2022 di tiga batu nautika daripada lokasi insiden.

"AW139 M72-01 juga adalah helikopter yang sering membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bagi melakukan force boarding dan terbaru ialah kejayaan dalam membantu Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) bagi menahan sebuah kapal tangki berdaftar dari Iran yang disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Indonesia pada tahun lalu.

"Selain kejayaan, sepanjang 14 tahun perkhidmatan AW139 M72-01 bersama Maritim Malaysia, pesawat berkenaan turut terbabit dengan beberapa siri pemindahan perubatan (MADEVAC) mangsa sama ada di pulau atau di pelantar minyak yang berada di perairan negara," katanya.

Katanya, empat kru yang terbabit dalam insiden berkenaan dilaporkan stabil dan selamat.

"Semua mereka menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Agensi semalam.

"APMM turut memohon supaya semua kru terbabit diberikan ruang dan tidak diganggu oleh mana-mana pihak bagi tujuan menstabilkan keadaan selepas melalui kejadian semalam," katanya.

Semalam, helikopter berkenaan dilaporkan terhempas di Perairan Pulau Angsa, di sini pada jam 9.55 pagi ketika melakukan latihan menyelamat.

Maklumat awal diterima menerusi panggilan Mers 999 oleh pemancing yang berada di sekitar lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 12:32 PM