TAMILSELVI didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat hari ini atas tuduhan membunuh kekasihnya.
TAMILSELVI didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat hari ini atas tuduhan membunuh kekasihnya.
Suraya Roslan


Kuala Langat: Seorang model sambilan didakwa Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh teman lelakinya, minggu lalu.

Tertuduh, A Tamilselvi, 26, yang memakai baju lokap ungu mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Maslinda Selamat.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa membunuh V Gawsigan, 26, di sebuah kediaman di Jalan Flora 3D/6, di Telok Panglima Garang, di sini pada 5.30 pagi, 11 Mac lalu.

Bekas pelajar perubatan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, peguam Ethan Tan yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya itu dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan mental.

"Saya difahamkan anak guam saya ada 'Bipolar Disorder' (BPD) malah, dia juga seperti tidak dapat memahami apabila saya menjelaskan kepadanya berhubung hari kejadian.

"Tertuduh juga mempunyai penyakit jantung dan memerlukan bantuan bateri untuk denyutan jantungnya," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Khadijah Amir Hamzah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes itu termasuk dalam peruntukan tidak boleh dijamin.

Katanya, tiada sebarang dokumen dikemukakan oleh pihak pembelaan bagi mengesahkan penyakit BPD dan penyakit jantung yang dialami tertuduh.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Maslinda menolak permohonan pihak pembelaan itu.

"Peguam perlu mengemukakan dokumen berkaitan kesihatan mental dan fizikal tertuduh pada tarikh sebutan akan datang," katanya.

Mahkamah turut menetapkan 25 April ini untuk tarikh sebutan semula kes dan laporan toksikologi, bedah siasat, kimia serta perubatan.

Selasa lalu, media melaporkan seorang lelaki maut dipercayai ditikam kekasihnya yang juga seorang model sambilan dipercayai berpunca bermotifkan cemburu kerana mangsa yang juga jurufoto sambilan didakwa curang.

Suspek berjaya diberkas anggota polis di sekitar kawasan Hospital Cyberjaya pada jam 12.30 tengah hari selepas membawa kekasihnya itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Doktor memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada mangsa namun tiada sebarang tindak balas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 12:57 PM