CHE Ibrahim bersama pemandu bas memeriksa bas  ketika ditemui di Ibu Pejabat Konsortium E-Mutiara Berhad di Kampung Panji, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
CHE Ibrahim bersama pemandu bas memeriksa bas ketika ditemui di Ibu Pejabat Konsortium E-Mutiara Berhad di Kampung Panji, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Pengusaha bas ekspres di Pantai Timur dijangka menaikkan harga tiket bas eksekutif sebanyak 42 peratus iaitu dari RM44 kepada RM75 dalam masa terdekat.

Perkara itu diputuskan menerusi perbincangan membabitkan pengusaha bas di Pantai Timur memandangkan kos yang semakin meningkat dan negeri lain pula sudah lama menaikkan harga.

Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail, berkata bas eksekutif bermaksud bas yang mempunyai kerusi 2+1 di setiap barisan, manakala bas ekonomi pula membabitkan kerusi 2+2 di setiap barisan.

Katanya, pada masa sekarang pengusaha bas di Pantai Timur mengenakan tambang tiket ekonomi untuk bas eksekutif dan tindakan itu dibuat akibat persaingan yang berlaku sebelum ini.

"Namun disebabkan kos yang semakin meningkat termasuk alat ganti dan harga bas yang semakin mahal menyebabkan pengusaha bas sudah tidak mampu untuk menampung kos operasi.

"Jadi kami sepakat untuk menaikkan tambang kepada harga yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

"Bagi bas ekonomi untuk perjalanan Kelantan ke Kuala Lumpur, harga yang akan dikenakan RM44 berbanding kini RM35, manakala tiket bas eksekutif yang akan dikenakan RM75 berbanding kini RM44.

"Kenaikan harga ini akan dibuat dalam masa terdekat dan mungkin ini Aidilfitri terakhir yang mana penumpang masih membeli dengan harga tiket yang lama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan zakat kepada anak yatim dan asnaf di pejabatnya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, selepas berlaku kenaikan berkenaan, harga tiket bas eksekutif atau ekonomi akan selaras di semua negeri berbanding di Pantai Timur buat masa ini lebih murah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 6:11 PM