GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Kerajaan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bersetuju supaya harga jualan runcit beras putih import (BPI) diturunkan antara RM2 hingga RM3 di pasaran berkuat kuasa esok.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semua stok semasa padi dan beras yang sudah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik pula dapat diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta merta.

Katanya, keputusan berkaitan Pelarasan Harga Beras Putih Import (BPI) serta BPT itu dimuktamadkan melalui mesyuarat NACCOL Bil 1/2024 yang berlangsung hari ini.

"Kerajaan optimis inisiatif ini dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup terutamanya semasa bulan Ramadan dan musim perayaan yang bakal menjelang.

"Sesungguhnya keputusan ini mencerminkan komitmen utuh kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat dan seterusnya memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara," katanya.

Kementerian itu memaklumkan, seiring keputusan supaya 14,000 tan metrik BPT diproses serta merta, KPKM akan meningkatkan penguatkuasaan melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) di seluruh negara.

"Dalam meluaskan jaringan pengedaran BPT, aktiviti Jualan Agro MADANI yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan diperluaskan dari segi lokasi dan peningkatan kekerapan program," katanya.

Katanya, kerajaan turut bersetuju semua kontrak kerajaan mengguna pakai sepenuhnya BPI, sekaligus membolehkan bekalan tambahan BPT sebanyak 20,000 tan metrik dapat diedarkan sepenuhnya di pasaran pada April ini.

"Kesemua langkah ini akan dapat meningkatkan ketersediaan bekalan beras kepada rakyat melalui jualan BPI pada harga yang lebih rendah serta pertambahan BPT di pasaran.

"KPKM juga akan meneruskan perbincangan bersama semua pemegang taruh untuk memperhalusi pelan tindakan jangka panjang bagi struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik untuk memastikan industri padi dan beras adalah mampan.

"…terutamanya dalam menjaga kepentingan dan kebajikan pesawah serta meningkatkan produktiviti pengeluaran beras negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 8:54 PM