Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan jumlah stok bagi menampung keperluan beras negara ini mencukupi bagi tempoh sehingga lima bulan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, berdasarkan status semasa kedudukan stok beras negara, jumlah stok bekalan sehingga 3 Oktober adalah sebanyak 820,482 tan metrik.

"(Ia) terdiri daripada 250,000 tan metrik stockpile (simpanan stok) kerajaan dan 570,482 tan metrik stok dagangan," katanya semasa sesi penerangan mengenai isu bekalan beras putih di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sejak pelancaran Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) dilancarkan pada 20 September, sebanyak 708,978 kampit BPT 10 kilogram (kg) diedarkan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Katanya, ia melalui rantaian peruncit seperti pasar raya, rantaian premis serta outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Beliau dalam pada itu turut menyatakan kenaikan harga beras putih import (BPI) secara mendadak di dunia dan larangan eksport oleh kerajaan India antara faktor pelaksanaan penyelarasan harganya.

"Bernas (Padiberas Nasional Berhad) mengumumkan pelarasan harga jualan BPI di pintu gudang Bernas seluruh negara daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 per tan metrik berkuat kuasa pada 1 September 2023 sejajar dengan harga terkini BPI di pasaran antarabangsa.

"Sekiranya kenaikan harga BPI berterusan tanpa pelarasan harga jualan dilaksanakan, Bernas akan mengalami kerugian pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

"Bernas juga dijangka akan hilang kemampuan untuk berkongsi 30 peratus keuntungan bersih pengimportan dengan pesawah sehingga membawa implikasi negatif kepada kerajaan," katanya.

Menurutnya, harga jualan BPI akan diselaraskan oleh Bernas dari semasa ke semasa tertakluk kepada harga pasaran beras global dan kadar nilai tukaran mata wang.

MOHAMAD ketika menjawab soalan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
MOHAMAD ketika menjawab soalan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 4:47 PM