TIMBALAN Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin mengetuai Operasi Bersepadu BPT di premis pemborong beras di sekitar Selangor, hari ini.
TIMBALAN Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin mengetuai Operasi Bersepadu BPT di premis pemborong beras di sekitar Selangor, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Gerak kerja Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (BPT) mula dilaksanakan dengan pemeriksaan dijalankan di semua peringkat sama ada kilang, pemborong atau runcit.

Operasi itu membabitkan 42 anggota penguat kuasa daripada Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, beliau mengetuai Operasi Bersepadu BPT di premis pemborong beras di sekitar Selangor, hari ini.

Katanya, pemeriksaan dalam operasi itu meliputi pengambilan sampel beras dan pengiraan stok fizikal beras dalam simpanan gudang.

"Hasil pemeriksaan awal dilakukan mendapati semua premis pemborong beras mempunyai bekalan BPT dan beras putih import (BPI) mempunyai lesen sah tempoh dan simpanan beras tidak melebihi had muatan dilesenkan.

"Semua sampel diambil adalah mengikut prosedur penguatkuasaan ditetapkan dan akan diserahkan kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

"Ia bagi tujuan analisis bagi mengesan pertukaran kampit beras atau kegiatan mencampurkan BPT dan BPI," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan meneruskan kerjasama penguatkuasaan merentas agensi melalui Operasi Bersepadu BPT.

"KPKM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampur BPT dan BPI atau menyembunyikan bekalan BPT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 10:03 PM