Pandangan kawasan sawah padi yang kering kontang berikutan cuaca panas yang panjang ketika tinjauan cuaca di Perlis di sini. FOTO BERNAMA
Pandangan kawasan sawah padi yang kering kontang berikutan cuaca panas yang panjang ketika tinjauan cuaca di Perlis di sini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Gelombang haba berlaku di seluruh Perlis dan Pokok Sena, Kedah hari ini apabila bacaan suhu yang diklasifikasikan sebagai Tahap 2 direkodkan, menurut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan gelombang haba atau Tahap 2 berlaku apabila suhu maksimum harian mencecah 37 hingga 40 darjah Celcius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut di sesuatu kawasan.

Menurut MetMalaysia terdapat 26 kawasan di Semenanjung berada pada tahap berjaga-jaga (Tahap 1) iaitu di Kedah melibatkan Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Kuala Muda, Pendang dan Kota Setar, sementara di Pulau Pinang melibatkan kawasan Timur Laut, dan Perak pula melibatkan Kampar, Kuala Kangsar dan Kinta.

Di Pahang membabitkan Bentong, Raub dan Temerloh, sementara di Selangor kawasan terbabit ialah Kuala Selangor dan Sepang.

Turut berada pada Tahap 1 ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan (Jelebu, Rembau, Tampin dan Seremban), Alor Gajah di Melaka dan Johor (Segamat, Muar dan Batu Pahat) serta Kota Belud di Sabah.

Menurut MetMalaysia, tahap berjaga-jaga (Tahap 1) berlaku apabila suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celcius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut di sesuatu kawasan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 7:54 PM