Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan beramah mesra bersama tetamu selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi di Singgahsana Kecil Istana Negara, hari ini.  FOTO BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan beramah mesra bersama tetamu selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi di Singgahsana Kecil Istana Negara, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini, berkenan menerima menghadap dan mengurniakan surat cara pelantikan kepada lima hakim di Istana Negara di sini.

Istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil Istana Negara itu dimulakan dengan pengurniaan surat cara pelantikan kepada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan surat cara kepada tiga Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Su Tiang Joo, Alexander Siew How Wai dan Amelati Anak Parnell.

Antara yang turut hadir menyaksikan istiadat berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim dan Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Hanipah dan Vazeer Alam sebelum ini adalah Hakim Mahkamah Rayuan, manakala tiga yang lain sebelum ini ialah Pesuruhjaya Kehakiman.

Selesai pengurniaan surat cara pelantikan, Seri Paduka Baginda bergambar bersama hakim-hakim yang baru dilantik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 1:43 PM