KPDN Selangor menyerbu kilang minyak masak yang tular baru-baru ini. FOTO ihsan KPDN Selangor
KPDN Selangor menyerbu kilang minyak masak yang tular baru-baru ini. FOTO ihsan KPDN Selangor
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kajang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu kilang minyak masak didakwa tidak halal di Balakong di sini, pada 11 Mac lalu.

Ia susulan penularan di media sosial gambar minyak masak bersubsidi daripada syarikat terbabit dengan tulisan 'non halal' yang didakwa minyak masak babi.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, tindakan pihak syarikat tidak meletakkan logo halal ke atas bungkusan minyak masak adalah disebabkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) syarikat tamat tempoh.

"Pihak JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) sudah mengambil tindakan kes di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 ke atas syarikat berkenaan kerana menggunakan logo halal Malaysia tanpa kebenaran pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati minyak masak keluaran syarikat terbabit diperolehi daripada sumber yang sah dan pengilang berlesen.

"KPDN Selangor memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan ke Whatsapp 019-848 8000, Aplikasi Ez Adu KPDN, hotline KPDN 1-800-886-800 atau Portal e-aduan KPDN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 10:55 AM