TANGKI besar yang dipercayai digunakan untuk mencampurkan minyak masak subsidi dan minyak masak terpakai.
TANGKI besar yang dipercayai digunakan untuk mencampurkan minyak masak subsidi dan minyak masak terpakai.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Nampak 'jernih' tapi terpakai

Putrajaya: Wujud kebimbangan, adakah minyak masak yang dibeli di pasaran dan digunakan untuk memasak di rumah benar-benar disahkan halal?

Persoalan itu ditimbulkan Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDN Shamsul Nizam Khalil susulan penemuan dan rampasan minyak masak meragukan yang dicampur minyak masak terpakai.

Menurutnya, ia susulan pembongkaran dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terhadap beberapa sindiket memasarkan minyak masak 'kitar semula' yang dihasilkan melalui proses campuran minyak masak peket subsidi dan minyak masak buangan.

"Difahamkan minyak masak 'kitar semula' ini dihasilkan sindiket melalui proses penapisan, didih dan penyulingan bagi memastikan warnanya menjadi jernih semula sebelum dibotolkan.

"Aktiviti itu berjaya dibongkar Khamis lalu, selepas sepasukan anggota dan pegawai Seksyen Perisikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya melakukan serbuan di dua premis di Rawang, Selangor Khamis lalu," katanya.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah memperolehi bekalan minyak masak peket 1 kilogram (kg) bersubsidi melalui sumber yang tidak sah disyaki pembekal berlesen.

"Sindiket kemudiannya memotong minyak masak peket itu di sebuah premis haram yang dijadikan transit. Seterusnya, minyak subsidi berkenaan dihantar ke sebuah gudang pemprosesan yang berselindung di sebalik aktiviti minyak masak terpakai.

"Minyak masak subsidi itu kemudian akan dicampurkan bersama minyak masak terpakai yang siap ditapis dan dididihkan. Ia kemudian akan melalui proses penyulingan bagi menghasilkan minyak masak disyaki untuk dipasarkan kepada pihak industri dan juga eksport," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti sumber bekalan minyak masak subsidi itu diperoleh sindiket itu.

"Semasa serbuan dijalankan, seramai 15 warga asing dan tempatan ditahan. Premis berkenaan disyaki beroperasi sejak sembilan bulan lalu.

"Pihak kami menyita hampir 12,000kg minyak masak bersubsidi, selain merampas peralatan digunakan bagi aktiviti memotong minyak masak peket serta peralatan memproses minyak masak terpakai. Nilai keseluruhan barang rampasan mencecah hampir RM60,000," katanya.

Beliau melahirkan kebimbangan terhadap status halal minyak masak yang diproses semula itu apatah lagi jika ia dijual semula kepada pengguna atau dibeli oleh pengilang syarikat makanan.

"Ini kerana minyak masak berkenaan diproses dengan kaedah yang tidak mendapat kelulusan pihak berwajib serta penggunaan minyak masak terpakai ini juga dikhuatiri menjejaskan kualiti makanan itu dan diragui status halal minyak masak yang dihasilkan.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengesan aliran minyak masak diproses semula ini dipasarkan termasuk kemungkinan ia dieksport ke luar negara," katanya.

Berdasarkan maklumat aktiviti membeli minyak masak terpakai dari restoran atau pemilik kediaman kian meningkat berikutan ia mencecah harga RM2.70 sekilogram.

Berikutan itu ramai pihak menjalankan perniagaan membeli minyak masak terpakai yang turut didakwa boleh dijadikan bahan api biodiesel untuk dieskport.

730 kes seleweng minyak masak subsidi bernilai RM16.7 juta

Kuala Lumpur: Sebanyak 730 kes membabitkan penyelewengan minyak masak subsidi bernilai lebih RM16.7 juta direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak 2019 hingga 30 Jun lalu.

Statistik itu membabitkan pelbagai kesalahan seperti berniaga barang kawalan tanpa lesen, gagal menyelenggara buku stok dan mengemukakan dokumen palsu.

Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDN Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil berkata, kegiatan haram itu bukan sahaja menyebabkan pihak kerajaan kehilangan subsidi jutaan ringgit saban tahun malahan memberi kesan negatif kepada kesihatan pengguna.

Menurutnya, pemantauan dan pemeriksaan dijalankan oleh pegawai penguatkuasa KPDNHEP diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan ketirisan barang kawalan dapat dikurangkan.

"Kerjasama bersama agensi penguatkuasaan lain turut dijalankan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"KPDN ingin memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan.

"Mana-mana individu melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta.

"Manakala bagi kesalahan berikutnya, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala bagi syarikat, denda dikenakan tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama atau denda tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan berikutnya," katanya.

Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan.

"Jika disabitkan dengan kesalahan mengikut Akta 613 ini, ( individu) boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 12:00 PM