SYED Muhammad Syah Hasi bersama  isteri, Fatin Syazwani memakai  telekung bertatahkan 5,000 batu kristal Swarovski. FOTO Ihsan Syed  Muhammad Syah Hasif Syed Othman
SYED Muhammad Syah Hasi bersama isteri, Fatin Syazwani memakai telekung bertatahkan 5,000 batu kristal Swarovski. FOTO Ihsan Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman
Redzuan Muharam


Klang: Demi menghargai isteri tercinta, Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman sanggup membelanjakan RM12,000 untuk menghasilkan telekung bertatahkan 5,000 batu kristal Swarovski.

Lebih istimewa, Syed Muhammad Shah Hasif, 32, menjahit sendiri telekung berkenaan daripada awal hingga akhir.

Kisah itu mendapat perhatian selepas Syed Muhammad Shah Hasif selepas memuat naik video di akaun TikTok miliknya menunjukkannya menjahit dan memberi kejutan buat isterinya , Fatin Syazwani Ishak, 26.

Menurut Syed Muhammad Shah Hasif, telekung itu diberi kerana mahu hadiahkan sesuatu berbeza berbanding sebelum ini dan mahu ia dimanfaatkan untuk jangka masa panjang.

"Ikutkan sudah ratusan pakaian dijahit untuk isteri, bukan hanya untuk raya malah banyak juga dihasilkan sempena kenduri kahwin atau acara keramaian.

"Sebahagiannya pun sudah dijual dan kali ini, saya terdetik untuk buat kelainan dengan beri hadiah istimewa kepada isteri iaitu telekung.

"Sebelum ini isteri ada cakap yang dia teringin nak pakai satu telekung keluaran seorang pengasas di TikTok jika ada rezeki cuma setakat beritahu keinginannya saja dan tidak bersungguh minta.

"Daripada situ, saya terfikir mengapa tidak beri hadiah telekung Swarovski buat isteri kerana sebelum ini selalu jahitkan bajunya ke majlis besar jadi apa salahnya melabur pula untuk pakaian ibadah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Syed Muhammad Hasif, pemberian telekung itu juga sebagai tanda kasih sayangnya terhadap isteri yang berhempas pulas memasak sekali gus membantu perniagaan laksa diusahakan mereka bersama.

Bercerita lanjut, Syed Muhammad Hasif berkata, telekung itu mengambil masa seminggu untuk disiapkan.

Bapa dua anak itu berkata, Fatin Syazwani, 26, tidak tahu menahu mengenai hadiah akan diterima kerana dia mahu memberi kejutan kepada isterinya.

"Tiada siapa tahu melainkan pembantu peribadi saya kerana saya berpakat dengannya untuk rahsiakan daripada pengetahuan isteri dan berniat beri hari ini sebelum kami ke masjid untuk menunaikan solat Tarawih.

"Tak dinafikan, kosnya memang tinggi tapi saya tak nampak ia satu pembaziran walaupun pasti ada segelintir orang kata begitu kerana telekung itu pun nak guna untuk menghadap Tuhan.

"Bukan sekali pakai atau waktu pergi Tarawih saja malah nak solat di rumah atau umrah pun boleh sarung telekung itu," katanya

Syed Muhammad Hasif berkata, terpulang kepada penilaian mereka yang melihat kerana tidak terdetik langsung di hatinya untuk menunjuk jauh sekali riak.

"Diharap isteri suka dan sekurang-kurangnya, dia akan ingat hadiah itu sebagai kenangan serta hasil kerja tangan saya yang jahit telekung eksklusif untuknya.

"Bab pakaian ikut kemampuan masing-masing dan kalau mampu, tak ada masalah. Kalau kurang mampu, pakai apa yang ada saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 11:35 PM